Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi bin Zainul Abidin memaklumkan liputan 4G di seluruh Malaysia kini mencapai 96%. Tambah beliau lagi, negara mensasarkan mencapai liputan 4G 100% dalam tempoh dua tahun lagi.
Terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan dalam meningkatkan ketersambungan ini melalui pembinaan tiang-tiang pemancar baharu. Antaranya isu yang melibatkan pemilik tanah dan kerajaan negeri.
Beliau turut menjelaskan kepada pemberita sebaik sahaja seluruh kawasan menerima liputan 4G, pihaknya akan berusaha menaik taraf kepada 5G.
Menerusi pelan JENDELA, Malsyai mensasarkan mencapai 96.96% liputan 4G dengan kelajuan mudah alih purata 35Mbps pada hujung 2022. Pada 31 Mac 2021, liputan 4G Malaysia berada di paras 93.77%, berdasarkan data dari Ookla.
Pada Ogos lalu, laporan Ookla menyatakan kelajuan mudah alih Malaysia berada pada 29.14Mbps untuk memuat turun, dan 10.87Mbps untuk memuat naik. Seterusnya membawa Malaysia di kedudukan anak tangga 89 antara negara-negara di seluruh dunia.
Sebagai perbandingan, di kalangan negara-negara rantau Asia Tenggara, Filipina berada di kedudukan yang lebih baik iaitu di tangga 73 dengan 33.77Mbps. Manakala Vietnam pula di tangga 57 dengan 41.15Mbps. Malah, Thailand juga lebih baik dengan 49.37Mbps di tangga 50.
Seterusnya, dua terbaik di kalangan negara Asia Tenggara, Brunei dan Singapura masing-masing mencatatkan kelajuan purata 61.85Mbps dan 91.75Mbps. Di seluruh dunia, Brunei berada di tangga ke-36, manakala Singapura pula berada di tangga ke-18.
Meningkatkan liputan 4G merupakan agenda penting terutamanya selepas penutupan rangkaian 3G yang mula dilaksanakan pada tahun ini. Pengguna 3G digesa supaya beralih ke telefon dengan sokongan 4G VoLTE. Dalam pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga perlu memastikan tiada kelompongan dalam penyediaan liputan 4G di kawasan masing-masing.
Malaysia mensasarkan menawarkan liputan rangkaian 5G secara komersil menjelang hujung tahun ini yang dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.