Utama Android Oppo Ulasan OPPO A78 5G; Telefon pintar dengan sokongan 5G pada harga sekitar...

Ulasan OPPO A78 5G; Telefon pintar dengan sokongan 5G pada harga sekitar RM1,000

1177
0
OPPO A78 5G Review

OPPO A78 5G, telefon pintar peringkat menengah terkini keluaran OPPO yang menawarkan sokongan rangkaian 5G. Ia juga menawarkan pelbagai ciri menarik seperti sokongan pengecasan SuperVOOC, bateri tahan lama dan juga kamera resolusi tinggi.

Telefon pintar berharga RM1,099 di pasaran Malaysia ini dilihat hampir setara dengan Redmi Note 12 5G dari segi penawaran spesifikasinya.

Mula dijual di pasaran Malaysia pada 18 Januari 2023, OPPO A78 5G hadir dengan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Anda yang berminat boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian OPPO dan juga di platform dalam talian Shopee dan Lazada. Ia juga ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Glowing Black dan Glowing Blue. Khusus untuk ulasan kali ini, kami menerima unit OPPO A78 5G dengan pilihan warna Glowing Blue.

Spesifikasi

Model Oppo A78 5G
Perisian Android 13 with ColorOS 13
Skrin LCD IPS 6.6-inci, kadar penyegaran semula 90Hz
Cipset Dimensity 700 SoC
RAM 8GB
Storan 128GB
Kamera Belakang 50MP+2MP
Kamera Hadapan 8MP
Bateri 5000mAh
Pengecasan 33W
Saiz 163.8 x 75.1 x 8 mm
Berat 188 g
Ketersambungan 5G, 4G LTE, Bluetooth 5.2, WiFi dwi-jalur

Reka bentuk

OPPO A78 5G-1Dari segi reka bentuk, OPPO A78 mempunyai bahagian permukaan tepi yang rata bagi membolehkan ia selesa untuk dipegang dan juga dibawa. Telefon pintar ini juga mempunyai ketebalan 7.99mm dan berat sekitar 188 gram.

Bahagian belakangnya pula selain menempatkan label jenama OPPO, turut hadir dengan dua bonggol yang menempatkan sensor untuk dua kameranya.

Berdasarkan unit ulasan yang kami terima ini, rona warna Glowing Purple ini jarang diketemukan pada model-model telefon pintar OPPO sebelum ini. Justeru, memberikan satu keunikan dari segi penawaran warna bagi telefon pintar ini.OPPO A78 5G Review-Chin

Bahagian belakang dari bahan polikarbonat yang berkilat ini boleh berubah warna apabila terkena cahaya, selain memberikan rasa licin apabila disentuh. Bahagian hadapannya pula mempunyai satu takuk berbentuk titisan air bagi menempatkan kamera hadapan dan juga skrin 2.5D dengan bingkai sekeliling yang tipis, namun mempunyai ‘dagu’ yang agak tebal.

Skrin OPPO A78 5G

Bercakap tentang paparannya, OPPO A78 5G hadir dengan skrin LCD 6.5 inci bersama-sama dengan kadar penyegaran 90Hz. Pun begitu, skrinnya ini agak sederhana dari segi kecerahan, terutamanya apabila digunakan di bawah terik sinar mentari kerana apa yang dipaparkan amat sukar untuk dilihat.

Kualiti paparannya pula hanya menawarkan sokongan video sehingga resolusi HD+ sahaja, dan ini agak kurang wajar untuk ditawarkan bagi sesebuah telefon pintar pada harga ini. Pun begitu, pembesar suara dwi-stereo padanya memberikan kepuasan dari segi kualiti pendengaran selain mampu menawarkan output audio berkualiti tinggi.

Perkakasan

Dari segi prestasi, Oppo A78 5G menawarkan kuasa yang memuaskan melalui penggunaan cipset MediaTek Dimensity 700 yang direka menggunakan proses pembuatan nod 7nm. Chipset okta-teras ini mempunyai dua teras Arm Cortex-A76 yang mencatatkan klok sehingga 2.2GHz dan enam teras Arm Cortex-A55 dengan klok sehingga 2GHz.

Telefon pintar ini menggunakan storan UFS 2.1 128GB dan sehingga 8GB RAM LPDDR4X. Kuasa CPU yang ditawarkannya tidak begitu terbeban bagi kegunaan yang santai seperti menatal pelayar web seperti Chrome.OPPO A78 5G Kotak

Ia juga mampu mengendalikan aktiviti ringan lain seperti melayari aplikasi media sosial dan juga penstriman seperti Netflix, YouTube, Amazon Prime, Astro Go dan sebagainya. Penggunaan yang agak berat seperti permainan mudah alih pula tidak begitu sesuai untuk memainka

n pada tahap kualiti grafik yang tinggi. Jika anda meminati permainan mempunyai grafik yang tinggi seperti Genshin Impact, mana-mana telefon pintar yang menggunakan cipset MediaTek Dimensity 700 mungkin agak kurang sesuai digunakan.

Untuk pengalaman kepermainan yang lebih lancar, sebaiknya anda menetapkan pada resolusi rendah untuk permainan popular tertentu seperti FIFA Soccer (dahulu dikenali sebagai FIFA Mobile) atau PUBG.

Ketersambungan rangkaian 5G

Memandangkan telefon pintar ini memberikan tumpuan khusus terhadap keupayaan sokongan rangkaian 5G, OPPO turut memberikan kami pek kad SIM YES 5G untuk diuji bersama-sama OPPO A78 5G ini.

Liputan 5G di kawasan Putrajaya ini boleh dikatakan hampir menyeluruh. Namun, adakalahnya liputan rangkaian tersebut boleh hilang tidak semena-mena di beberapa lokasi terutamanya di sekitar Presint 3 dan Presint 4. Boleh jadi, kawasan tersebut kurang kediaman atau boleh jadi faktor di dalam bangunan itu sendiri, saya tidak dapat memberikan jawapan punca keadaan tersebut.

Pun begitu, penerimaan rangkaian 5G adalah amat baik jika anda berada di lokasi-lokasi menarik dan popular tumpuan pelancong di sekitar Putrajaya seperti di Dataran Putra, Tangga Putrajaya (Putrajaya Steps), Taman Wetland Putrajaya dan Taman Saujana Hijau.

Misalnya, menerusi ujian rangkaian 5G YES melalui aplikasi Speedtest.net pada OPPO A78 5G yang kami lakukan didapati mampu mencapai kelajuan muat turun sekitar ~690Mbps. Kelajuan muat turun berkenaan juga bergantung dengan lokasi di mana anda menerima liputan rangkaian 5G.

Kamera

Telefon pintar ini mempunyai dua kamera pada bahagian belakangnya, 50MP sebagai kamera utama dan 2MP sebagai kamera berkedalaman. Ia tidak didatangkan dengan teknologi pengimejan telefon pintar yang canggih, namun foto yang dijana olehnya memadai untuk digunakan terutamanya jika diambil dalam keadaan cerah terang benderang di luar.

Fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan seperti di dalam gelap mahupun di dalam bangunan pula tidak begitu memberangsangkan. Perinciannya tidak begitu tajam dalam keadaan tersebut.

Dari segi videografi pula, kualiti yang dihasilkan adalah sederhana sahaja pada resolusi pilihan 720p dan maksimum 1080p. Anda mungkin perlu menggunakan tripod untuk mengurangkan kesan gegaran ketika merakamkan video memandangkan ia tidak dilengkapkan dengan OIS mahupun EIS.

Pun begitu, perkara ini dapat dimaafkan mengambil kira telefon pintar ini menumpukan pada kelebihan sokongan rangkaian 5G yang ditawarkannya.

Kamera hadapan 8MP yang disediakannya pula boleh memberikan hasil swafoto yang berkualiti tinggi dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Bagaimanapun, terdapat sedikit kelewatan dari segi respon selepas butang menangkap gambar diketik apabila kamera hadapan ini digunakan.

Bateri

Oppo A78 5G menerima bekalan kuasanya daripada bateri 5,000mAh yang juga menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 33W. Berdasarkan penggunaan sepanjang tempoh pengujian kami, telefon pintar ini menggunakan kuasa sehingga 7% hingga 10% sejam bagi penggunaan penstriman video dalam talian. Untuk permainan mudah alih pula didapati ia menggunakan kuasa sekitar 9% hingga 13% sejam dari kapasitinya.

Pendek kata, bateri untuk telefon pintar ini mampu bertahan sekitar 20 jam bagi kegunaan yang merangkumi permainan mudah alih, penstriman video, panggilan telefon dan melayari laman web. Tahap ini adalah sesuatu yang sudah dijangkakan bagi sesebuah telefon yang menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 700.

Mengecaskannya dari sifar sehingga 100% kapasiti juga tidak mengambil masa yang lama, sekitar dua jam apabila menggunakan pengecas SuperVOOC 33W yang disertakan bersama-sama dengannya.

Perisian

Oppo A78 hadir dengan ColorOS 13 yang berasaskan sistem operasi Android 13. Jika dibandingkan dengan antaramuka telefon pintar pengeluar Android dari China yang lain, ColorOS 13 OPPO A78 dilihat lebih canggih.OPPO A78 5G Review-OS

Namun bagi model OPPO A78 5G ini, isu aplikasi-aplikasi sarap yang didatangkan bersama-sama di dalamnya mungkin sedikit mengganggu bagi sesetengah pengguna.

Harga OPPO A78 5G di Malaysia

OPPO A78 5G Batu GajahDi Malaysia, OPPO A78 5G ditawarkan pada harga RM1,099 di pasaran dan secara jujurnya, harga ini boleh dikatakan agak tinggi jika mengambil kira spesifikasi yang ditawarkan olehnya.

Lagipun, rangkaian 5G di Malaysia ini masih lagi belum ditawarkan secara meluas dan ini bergantung kepada sejauh mana pelaksanaannya yang kini sedang giat dilakukan di seluruh negara.

Anda yang berminat untuk mendapatkan telefon pintar ini boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian OPPO Malaysia, Shopee, dan Lazada. Anda juga boleh mendapatkannya menerusi kedai-kedai fizikal menerusi wakil pengedar yang sah di seluruh Malaysia.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.