Utama Android Honor Ulasan HONOR X7b – Telefon Pintar Harga Bajet dengan Spesifikasi Berbaloi

Ulasan HONOR X7b – Telefon Pintar Harga Bajet dengan Spesifikasi Berbaloi

198
0

Penghujung tahun pada kebiasaannya akan diperkenalkan dengan model-model telefon pintar yang lebih mesra bajet kepada pengguna. HONOR dalam pada masa yang sama turut memperkenalkan telefon pintar berharga mampu milik melalui HONOR X7b.

Telefon pintar ini secara amnya mampu melaksanakan tugasannya seperti yang diharapkan dengan beberapa ciri seperti kamera, rekaan dan paparan yang dikirakan berbaloi pada harga yang ditawarkan.

Rekaan

Sesuai dengan harganya iaitu RM799, HONOR X7b menampilkan kemasan polikarbonat dengan campuran plastik untuk permukaan belakangnya. Corak unik untuk pilihan warna Flowing Silver seperti unit ulasan ini juga menambahkan seri pada telefon pintar ini.

HONOR dilihat mengadunkan gaya rekaan HONOR 90 dan HONO 70 pada HONOR X7b dan sesuai dengan ketebalannya pada 8.24mm. Hal ini kerana telefon pintar ini menyediakan bicu audio 3.5mm selain turut menyediakan kapasiti bateri sebesar 6,000mAh yang juga menyumbang kepada beratnya menjadi 199 gram. Tidak hairanlah rekaan telefon pintar ini lebih tebal dan sedikit berat jika dibandingkan dengan HONOR X8b yang tidak mempunyai kelebihan kapasiti bateri besar dan bicu audio.

Selain dari pilihan warna Flowing Silver seperti unit ulasan ini, HONOR X7b turut ditawarkan dengan pilihan Emerald Green yang juga diperbuat daripada bahan kemasan yang sama.

Prestasi

Perkakasan untuk HONOR X7b merupakan sesuatu yang sudah dijangkakan buat sesebuah peranti yang seangkatan dengannya. Dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680 4G, telefon pintar ini hadir dengan kapasiti RAM sebanyak 8GB dan storan dalaman UFS 2.1 256GB.

Penggunaan storan jenis UFS ini juga memberikan impak pada prestasinya berbanding penggunaan storan eMMC yang lebih perlahan seperti sesetengah telefon pintar yang sama di dalam segmen ini.

Model telefon pintar ini juga masih lagi mengekalkan slot kad mikroSD yang boleh menambah ruangan storan tambahannya sehingga 1TB. Selain itu, RAM telefon pintar ini juga boleh ditambah secara maya melalui HONOR RAM Turbo sebanyak 8GB.

Tempoh penggunaan baterinya yang berkapasiti 6,000mAh dilihat mampu mencapai sehingga dua hari lebih, berdasarkan tahap kegunaan saya yang melibatkan melayari laman web, media sosial, panggilan telefon dan sekali-sekala bermain permainan mudah alih. Agak panjang juga ketahanan telefon pintar yang turut menyokong pengecasan HONOR SuperCharge 35W. Untuk mengecas dari kosong sehingga penuh, HONOR X7b didapati mampu dicaskan dalam tempoh kira-kira 1 jam.

Beberapa ciri yang biasa terdapat di dalam antaramuka HONOR Magic UI 7.2 yang berasaskan Android 13 didapati tida disediakan di dalam HONOR X7b. Antara yang tidak disediakan termasuklah HONOR Connect, Seamless Transfer dan Smart Sensing.

Ia dikurangkan atas sebab mengoptimumkan tempoh penggunaan baterinya tanpa menjejaskan pengoperasiannya secara keseluruhan. Beberapa ciri lain yang standard pada teras Android 13 dan juga sokongan lain seperti HONOR Connect, Seamless Transfer dan Smart Sensing masih lagi dikekalkan.

Lain-lain fungsi yang melibatkan tugasan berbilang dan juga permainan dapat dikendalikan dengan baik tanpa sebarang gangguan. Seperti biasa, tetapan untuk permainan boleh ditetapkan pada peringkat rendah atau sederhana untuk mengelakkan gangguan, sesuai dengan kuasa pemprosesannya.

Spesifikasi

Skrin  TFT LCD 6.80 inci 90Hz FHD, 16.7 juta warna
Kamera belakang Kamera utama 108MP Ultra-Clear (f/1.75 apertur)
Kamera lebar 5MP (f/2.2 apertur)
Kamera makro 2MP (f/2.4 apertur)
Kamera hadapan 8MP (f/2.0 apertur)
Ukuran dan berat 166.7mm × 76.5mm x 8.24mm , 199 gram
Pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680 4G
Grafik Adreno 610
RAM dan storan 8GB RAM (LPDDR4X), storan UFS 2.1 256GB UFS, slot kad MikroSD
Audio Dwi-Speaker dengan HONOR Histen, USB C Audio, bicu audio 3.5mm Jack
Sokongan keselamatan Pengimbas cap jari pada butang kuasa
Pengecasan 6,000mAh, sokongan pengecasan 35W
Ketersambungan Dwi-SIM, NFC, BT 5.x, AC Wifi 5, LTE
Pilihan warna Flowing Silver & Emerald Green

Skrin dan Audio

HONOR X7b mempunyai skrin LCD TFT 6.8-inci beresolusi 1080p dengan kadar penyegaran semula skrin 90Hz. Ia juga mempunyai nisbah aspek yang baik pada 20:09 dan dari segi kejituan warnanya, ia masih lagi mampu memberikan kontras yang baik sungguhpun ia jauh dari kualiti yang terdapat pada skrin AMOLED.

Pun begitu, pengendaliannya masih dikira sebagai lancar dengan menonton video pada skrin ini juga tidak meninggalkan kesan ‘ghosting’. Justeru, anda boleh menggunakannya bagi kegunaan produktiviti dan juga media sosial. Untuk penstriman pula, HONOR X7b menyokong Widevine L1 untuk DRM aplikasi penstriman seperti Netflix.

Tontonan untuk jangka masa yang lama juga dapat dikurangkan kesannya pada mata pengguna melalui sokongan Dynamic Dimming. Sokongan Circadian Night Display pada telefon pintar ini pula dikatakan dapat membantu mengurangkan kesan gangguan pola tidur akibat lebihan pancaran cahaya biru dari paparan peranti mudah alih.

Kecerahan puncak HONOR X7b pula boleh memuncak pada 800 nits yang boleh disesuaikan mengikut keadaan cahaya persekitarannya. Tambahan pula, skrin LCD yang digunakannya juga menjadikan paparannya tidak sejelas skrin LED apabila berada di bawah pancaran sinar matahari.

Terdapat sepasang pembesar suara untuk telefon pintar ini yang mampu diperkuatkan bunyinya sehingga 200% tanpa menyebabkan kesan pecah terhasil. Cuma pada tahap ini, audio yang dihasilkannya kekurangan bass dan lebih sesuai untuk mendengar suara percakapan seperti ceramah atau menerima panggilan dalam mod pembesar suara.

Seperti biasa pilihan kawalan audio agak terhad untuk output melalui pembesar suara. Namun, anda boleh mendapatkan lebih banyak pilihan jika menyambungkannya ke fon telinga sama ada jenis berwayar melalui bicu audio 3.5mm. Pelarasan audio menggunakan Histen Sound ini boleh diakses tetapannya di dalam Sound Options.

Kamera

Kekuatan HONOR X7b juga terdapat pada kameranya melalui kamera utama 108MP. Kamera belakangnya ini juga mengandungi kamera bersudut lebar 5MP dan kamera makro 2MP. Untuk model ini, HONOR menggunakan pixel binning 9 dalam 1 bagi meningkatkan kejelasan resolusinya.

Foto pada waktu siang di luar bangunan didapati dapat dihasilkan dengan amat baik pada kebanyakan masa. Cuma, ada ketikanya terdapat kesan kabur apabila mengambil subjek yang bergerak-gerak.

Apa pun, kamera pada telefon pintar ini masih lagi berkeupayaan mengambil perincian, kejelasan dan warna dengan baik sungguhpun terdapat sedikit perbezaan pada tona-tonanya. Foto yang dizumkan pada 2x juga dapat diambil dengan baik asalkan tidak dinaikkan lagi ke tahap lebih dari itu. Untuk foto jarak dekat seperti bunga-bungaan dan daun-daunan juga didapati dapat dijana dengan baik.

Foto pada waktu malam pula kualitinya bergantung kepada faktor pencahayaan persekitarannya. Sokongan daripada kecerdasan buatan (AI) pada telefon pintar ini sedikit sebanyak membantu memperelokkan imej yang ditangkap. Hal ini bukanlah sesuatu perkara yang besar memandangkan harga telefon pintar ini yang dikategorikan sebagai peranti bajet.

Rakaman video pula, HONOR X7b boleh membuat rakaman sehingga resolusi 1080p pada kadar 30fps. Ia disebabkan oleh had pada pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680 yang digunakan dan bukan disebabkan oleh kameranya. Pun begitu, tahap resolusi ini merupakan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan untuk kebanyakan telefon pintar keluaran masa kini.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, HONOR X7b melepasi jangkaan bagi sesebuah telefon pintar berharga bajet, RM799. Reka bentuknya juga bukan “sekadar melepaskan batuk di tangga” seperti yang kita selalu lihat pada telefon pintar lain dalam segmen ini.

Selain itu, kapasiti RAM 8GB dan storan yang lebih besar 256GB juga memberikan lebih ekstra buat pengguna tanpa meranapkan dompet. Pemprosesan Snapdragon 680 yang sedikit ketinggalan masih lagi boleh diharapkan keupayaannya dalam melaksanakan operasi pada telefon pintar ini. Malah, kamera utama HONOR X7b juga tidak mengecewakan selain baterinya yang tahan lebih lama.

Pada hemat kami, HONOR X7b merupakan pilihan yang berbaloi untuk anda yang mengutamakan bajet dalam memilih sesebuah telefon pintar kegunaan jangka masa panjang.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.