U Mobile telah mengumumkan penawaran akses rangkaian 5G untuk pelanggannya bermula awal bulan depan. Perkembangan ini merupakan lanjutan dari Perjanjian Akses dengan syarikat 5G kebangsaan Digital Nasional Berhad (DNB) semalam.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, berikut merupakan senarai pelan pascabayar dan prabayar yang akan menerima akses 5G bermula dari 3 November 2022:
- U Postpaid 38
- U Postpaid 68
- U Postpaid 98
- Prepaid U25
- Prepaid U35
Pelanggan-pelanggan U Mobile yang berkongsi talian U FamilyShare juga dapat menikmati rangkaian 5G nasional ini. Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kuota data 5G khusus tidak akan dikenakan bagi pelan berkenaan.
Bagi pelan-pelan lain pula seperti U Postpaid 38, kuota yang diperuntukkan adalah sebanyak 30GB. Manakala bagi U Postpaid 68 pula kuotanya adalah sebanyak 100GB. Seterusnya untuk pelan U Postpaid 98 yang menawarkan kuota sebanyak 1,000GB boleh dikongsikan sehingga enam talian suplimentari di bawah U FamilyShare.
Pelan pascabayar U Mobile seperti Prepaid U25 dan Prepaid U35 pula tidak dinyatakan kuota yang ditetapkan padanya, namun masing-masing mempunyai had kelajuan masing-masing iaitu 3Mbps dan 6Mbps.
Pun begitu, U Mobile menetapkan had Polisi Penggunaan Saksama (FUP) bulanan sebanyak 30GB untuk Prepaid U25 dan 100GB untuk Prepaid U35. Jika seseorang pelanggan tersebut didapati mencecah had FUP berkenaan, kelajuannya akan dikurangkan sehingga 512kbps sahaja sehingga kitaran langganan berikutnya.
Pelanggan Pelan Prepaid U25 dan Prepaid U35 perlu mengaktifkan ciri Speed Booster terlebih dahulu untuk menikmati perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh U Mobile. Ciri ini boleh diaktifkan sekali sehari tanpa sebarang bayaran tambahan dan hanya boleh digunakan dalam tempoh sejam sahaja selepas diaktifkan.
Kuota data bagi penggunaan akses rangakaian 4G dan juga 5G bagi U Mobile bagaimanapun adalah sama.