Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan rancangan untuk menyediakan infrasttruktur mengecas kenderaan elektrik (EV) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Projek berkenaan akan dilakukan secara usaha sama dengan Plus Malaysia dengan TNB melabur sebanyak RM90 juta dalam tiga tahun bagi membina ekosistem EV.
Pengumuman ini merupakan rentetan dari kolaborasi hijau di antara kedua-dua syarikat yang pernah diumumkan pada Mac lalu. TNB dan PLUS telah membuat perjanjian jangka panjang bagi mengurangkan pelepasan karbon dengan menyediakan stesen pengecas EV disepanjang lebuhraya PLUS.
Kedua-dua syarikat ini akan melakukan pemasangan stesen mengecas bersama-sama sistem memantau kecekapan tenaga dan sistem fotovoltaik suria di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terpilih di sepanjang rangkaian lebuhraya PLUS. Ini meliputi kawasan R&R Ayer Keroh Arah Utara dan R&R Tapah Arah Utara dnegan jumlah kapasiit keseluruhan melebih 360kWp.
Pengerusi TNB Ibrahim Din menyatakan pasaran EV mempunyai keupayaan sebanyak 3,300 tempat mengecas untuk 33,350 buah EV menjelang 2025 dengan pendapatan elektrik tahunan RM80 juta. Dijangkakan akan terdapat pertambahan sebanyak 18,000 tempat mengecas dengan pendapatan elektrik mencecah RM1.25 bilion menjelang 2030.
Beliau yang juga memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TNB turut menjangkakan sekitar 500,000 EV akan digunakan dengan keperluan mengecas elektrik sebanyak 2.3 TWj menjelang 2030. Ia juga dijangka akan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 4.4 juta tan.
Selain dari lebuhraya, TNB juga mempunyai rancangan yang lebih luas untuk membangunkan hab mengecas umum EV yang mirip dengan stesen minyak di seluruh negara melalui anak syarikatnya, Tenaga Switchgear. Menurut TNB, stesen pertamanya akan mula beroperasi di Bangsar pada 2023.
TNB bukanlah satu-satunya syarikat yang mengusahakan infrastruktur EV kerana Porsche dan Shell juga sedang mewujudkan tempat mengecas di beberapa stesen Shell di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Petronas, Mercedes-Benz dan JomCharge juga mempunyai rancangan yang sama melalui pengecasan pantas pertamanya Energise DC di Gambang.