Gergasi teknologi dari China dan juga pemilik TikTok, Tencent baru-baru ini telah menghasilkan chatbot baharu yang didakwa setanding dengan ChatGPT.
Hunyuan Aide dari Tencent telah dilancarkan pada 7 September baru-baru ini, mengikuti jejak langkah Baidu yang melancarkan ERNIE Bot pada bulan lepas.
Beijing telah memperkenalkan undang-undang baharu pada bulan lepas untuk pembangun teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, A.I.). Ia dilaksanakan supaya saingan dalam perlumbaan teknologi AI ini dapat diteruskan tanpa mengabaikan aspek kawalan sebarang maklumat dalam talian.
Ketika pelancaran, Tencent mempertontonkan keupayaan Hunyuan Aide dengan bot tersebut memperkenalkan dirinya sebagai respon daripada soalan yang ditaip oleh kakitangan Tencent pada laptop dan menyelesaikan masalah kira-kira yang ringkas.
Naib Presiden Jiang Jie menyatakan di dalam sidang yang diadakan secara penstriman langsung tersebut bahawa bot yang dihasilkan Tencent mengatasi OpenAI ChatGPT versi 3.5 dan setaraf dengan GPT-4 dalam mengenalpasti soalan rumit seperti bagaimana cara yang selamat untuk memandu dengan laju. Malah, ia juga dikatakan mampu menjawab soalan ujian kemasukan ke universiti di China.
“Berbanding dengan model bahasa besar sumber terbuka yang biasa di pasaran pada masa ini, kaedah (kami) berkesan mengurangkan kadar halusinasi sebanyak 30 hingga 50%,” ujar Jiang ketika mengaitkan dengan masalah output merepek yang kadangkala dijana oleh AI.
Dilatih berdasarkan lebih dari dua trillion token dengan lebih dari 100 billion parameter unit bahasa dan pemboleh ubah yang berhubungan dengannya sehingga Julai tahun ini, set data Hunyuan Aide akan terus dikemaskini, menurut Jiang.
Hunyuan Aide juga didakwa Tencent mempunyai keupayaan menulis bahasa Cina yang cemerlang, keupayaan membuat interferens logikal dalam konteks bahasa yang rumit dan keupayaan menyelesaikan tugasan dengan baik.