Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengumumkan sejumlah 47,000 telefon pintar 5G akan memasuki Malaysia dalam minggu ini. Ia merupakan sebahagian dari pelaksanaan Pakej 5G Rahmah melibatkan telefon pintar keluaran Samsung dan HONOR.
Menurut Bernama, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan telefon pintar berkenaan akan diagihkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan. Rakyat Malaysia yang layak berpeluang memiliki telefon pintar yang dijangkakan Samsung Galaxy A14 5G dan HONOR 90 Lite 5G pada harga serendah RM120 melalui pakej tersebut.
Sebagai perbandingan, harga asal Samsung Galaxy A14 5G bernilai RM949 dengan HONOR 90 Lite 5G pula berharga RM1,099. Mula ditawarkan sejak dari Hari Kebangsaan baru-baru ini, Pakej 5G Rahmah menawarkan pemilikan kedua-dua telefon pintar 5G berkenaan pada harga bawah RM240 dengan kontrak pascabayar 24 bulan. Pakej ini juga menawarkan kuota data sekurang-kurangnya 60GB pada harga serendah RM60 sebulan.