Utama Mobile Aplikasi Telegram Premium mula ditawarkan hari ini, Harga langganan bulanan RM22.90

Telegram Premium mula ditawarkan hari ini, Harga langganan bulanan RM22.90

25
0

Selepas mengumumkan Telegram Premium awal bulan ini, aplikasi permesejan popular berkenaan akhirnya melancarkan perkhidmatan langganan berbayarnya pada hari ini. Melaluinya, pengguna ditawarkan pelbagai ciri-ciri tambahan unik pada harga langganan RM22.90 sebulan.

Segala ciri unik berkenaan turut dikongsikan menerusi satu hantaran di dalam blog Telegram. Antara daya tarikan utamanya termasuklah muat turun yang lebih pantas dan had saiz fail dimuat naik yang lebih besar iaitu 4GB berbanding kebiasaan 2GB.

Pelanggan Premium juga akan menerima kelebihan fungsi dua kali ganda dari apa yang ditawarkan kepada pengguna percuma. Antaranya seperti had saluran-saluran yang boleh disertai dari 500 kepada 1000 saluran.

Selain itu, pelanggan juga boleh mewujudkan 20 folder chat dengan 200 chat di dalam satu folder berkenaan. Malah, pelanggan premium juga boleh menyimpan sehingga 10 pelekat, mempinkan 10 chat, dan menambah sehingga empat akaun Telegram berbanding tiga bagi pengguna percuma. Pengguna Telegram Premium juga boleh mempunyai biodata yang lebih panjang dengan mempunyai pautan.

Lain-lain ciri tambahan yang ditawarkan termasuklah koleksi pelekat-pelekat Premium dengan animasi berskrin penuh, reaksi emoji eksklusif, dan gambar profil beranimasi. Terdapat juga alatan pengubah teks untuk menukar teks kepada mesej bersuara bagi pengguna yang tidak mempunyai masalah untuk merakamkan audio atau menggunakan mikrofon pada peranti. Mesej-mesej iklan juga tidak akan dimasukkan di dalam saluran-saluran awam bagi pengguna Premium.

Penawaran pelan langganan Premium ini tidak akan menjejaskan pengguna-pengguna percuma, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov. Ini bermakna pengguna Telegram percuma boleh memuat turun fail bersaiz besar yang telah dimuat naik oleh pelanggan-pelanggan berbayar, selain boleh melihat reaksi atau emoji premium yang dikongsikan.

Pavel Durov juga menjanjikan Telegram tidak akan menamatkan pembangunan untuk pengguna-pengguna percuma. Kemaskini terbaru Telegram memaparkan lencana pengesahan di dalam dan tidak lagi hanya pada profil, hasil carian atau senarai chat. Turut disediakan kumpulan awam kini boleh mengaktifkan ciri meminta izin menyertai kumpulan dan pelbagai penambahbaikan terkini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.