Pavel Durov, pengasas aplikasi permesejan Telegram telah ditahan di Perancis petang semalam, menurut agensi berita Jerman (dpa) yang memetik laporan setempat dari Perancis.
Jutawan Russia berkenaan dilaporkan telah tiba di Perancis melalui Lapangan Terbang Le Bourget, dekat Paris dari Azerbajian sebelum ditahan, menurut laporan.
Berdasarkan laporan dari rangkaian penyiar televisyen komersil Perancis (TFI) dan rangkaian penyiar berita televisyen dan radio Perancis (BFMTV), Durov yang dikehendaki di Perancis telah ditahan oleh pihak polis untuk disiasat. Beliau ditahan dengan waran tangkap atas kesalahan yang mempunyai kaitan dengan aplikasi permesejan popular yang dibangunkannya, Telegram.
TFI melaporkan siasatan awal terhadap Durov dijangka akan dijalankan seawal hari ini. Durov yang juga menubuhkan platform media sosial Rusia VKontakte telah membangunkan Telegram bersama abangnya Nikolai.
Telegram merupakan salah satu daripada rangkaian dalam talian yang penting di Rusia dan digunakan oleh banyak pihak termasuk pihak berkuasa dan ahli politik untuk berkomunikasi.