Kerajaan India mengarahkan sekatan sementara terhadap aplikasi pemesejan Telegram sehingga 22 Jun, susulan kebimbangan platform tersebut digunakan untuk tujuan penipuan yang mensasarkan pelajar menjelang peperiksaan ulangan kemasukan perubatan terbesar negara itu.

Menurut laporan TechCrunch, arahan tersebut diumumkan oleh Agensi Peperiksaan Kebangsaan India (NTA) semalam. Badan kerajaan tersebut bertanggungjawab mengendalikan National Eligibility Entrance Test (NEET (UG)), iaitu peperiksaan kemasukan ke kolej perubatan yang diambil oleh jutaan pelajar setiap tahun.

Sekatan Seluruh Negara dan Kawalan Ciri Aplikasi

NTA memaklumkan bahawa sekatan melibatkan larangan sementara akses Telegram di seluruh negara sehingga 22 Jun, sehari selepas peperiksaan ulangan pada 21 Jun. Telegram juga diminta melumpuhkan ciri suntingan mesej sehingga 30 Jun.

Menurut agensi itu, ciri suntingan mesej didakwa digunakan untuk memanipulasi bukti kebocoran kertas peperiksaan selepas ujian dijalankan.

NTA menyatakan langkah tersebut diambil “demi kepentingan ketenteraman awam” susulan penggunaan platform secara terancang oleh sindiket penipuan untuk memperdaya calon peperiksaan NEET (UG) 2026.

Arahan ini dikeluarkan di bawah Seksyen 69A Akta Teknologi Maklumat India, iaitu peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan menyekat perkhidmatan atau kandungan dalam talian.

Telegram Kritik Tindakan Kerajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov, mengkritik sekatan tersebut dengan menyatakan ia memberi kesan kepada lebih 150 juta pengguna di India, bukannya pihak yang bertanggungjawab terhadap kebocoran soalan.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan langkah itu, dengan menyatakan bahawa aktiviti kebocoran “hanya berpindah ke aplikasi lain.”

Dalam kenyataan lanjut, Durov memaklumkan Telegram telah menghapuskan ratusan saluran berkaitan kebocoran soalan dan penipuan. Turut dilaksanakan penambah baikan label “edited” bagi mengelakkan penipuan melalui suntingan mesej (backdating scam).

Beliau juga mendakwa terdapat gangguan akses Telegram bagi sesetengah pengguna di luar India, yang dikaitkan dengan pengendali telekomunikasi tempatan, walaupun dakwaan ini belum mendapat maklum balas rasmi.

Kritikan Aktivis Hak Digital

Langkah kerajaan India itu menerima kritikan daripada kumpulan advokasi digital, termasuk Internet Freedom Foundation, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak seimbang.

Kumpulan itu mempersoalkan sama ada Seksyen 69A membenarkan sekatan terhadap keseluruhan platform, dan bukan sekadar kandungan tertentu.

Mereka menyatakan bahawa penutupan Telegram adalah “penyelesaian sementara yang tidak sepadan” terhadap isu penipuan peperiksaan.

Kerajaan India Pertahan Keputusan

Ketua Pengarah NTA, Abhishek Singh, mempertahankan langkah tersebut dengan menyatakan bahawa walaupun saluran penipuan boleh beroperasi melalui VPN atau dari luar negara, sekatan akses masih mampu mengurangkan jumlah mangsa.

Menurut beliau, jika tiada pengguna atau “klien”, aktiviti penipuan akan berkurangan dan pelajar dapat dilindungi.

Peperiksaan ulangan NEET diadakan selepas ujian sebelum ini terjejas akibat skandal kebocoran kertas soalan, yang mencetuskan siasatan persekutuan dan meningkatkan pengawasan terhadap sistem peperiksaan negara itu.

India merupakan pasaran terbesar Telegram di dunia, dengan dianggarkan sekitar 354 juta pengguna aktif bulanan. Hampir 600 juta muat turun sejak pelancarannya berdasarkan data dari Sensor Tower.

Walaupun sekatan diumumkan, Telegram dilaporkan masih boleh diakses oleh sebahagian pengguna di India, dan ciri suntingan mesej masih berfungsi. Dalam pada masa yang sama, Google dilaporkan telah mengeluarkan aplikasi tersebut daripada Play Store di negara berkenaan.

Tinggalkan komentar