Utama Android Samsung Bahan promosi dan spesifikasi Samsung Galaxy S21 FE tertiris

Bahan promosi dan spesifikasi Samsung Galaxy S21 FE tertiris

Samsung Galaxy S21 FE ini kelak dikatakan akan menampilkan paparan dengan kadar penyegaran semula 120Hz sama seperti siri Galaxy S21 lain, tetapi tidak menyediakan kamera telefoto.

94
0

Maklumat tertiris baharu mengatakan Samsung sedang bersedia untuk melancarkan telefon pintar Samsung Galaxy S21 FE. Kali ini, maklumat berkenaan turut menyertakan bahan promosinya bersama-sama maklumat berkaitan spesifikasinya.

Imej-imej yang tertiris tersebut bagaimanapun tidak membawakan sebarang penambahan maklumat baharu sejak maklumatnya ditiriskan. Terdahulu, Galaxy S21 FE dikatakan akan menampilkan rekaan yang mirip dengan Galaxy S21 Plus dengan sedikit perbezaan.

Antara yang paling ketara adalah pada bonggolan yang menempatkan kamera di belakakngnya. Untuk Galaxy S21 FE ini, ia menjadi sebahagian dari panel belakangnya berbanding sebelum ini yang hadir sebagai modul berasingan. Dari segi pilihan warna, model ini dikatakan akan hadir dengan pilihan warna White, Black, Lavender, dan Cream.Samsung-Galaxy-S21-FE-Promosi Tertiris-1

Laman web yang berkongsikan bahan material tersebut, CoinBRS turut mendakwa telah mendapat beberapa maklumat berkaitan spesifikasi Samsung Galaxy S21 FE. Dikatakan telefon pintar ini akan hadir dengan sama ada Qualcomm Snapdragon 888 atau Samsung Exynos 2100, bergantung pada lokasi di mana ia dipasarkan.

Selain itu, ia juga dikatakan akan didatangkan dengan RAM sehingga 12GB dan storan 256GB, paparan AMOLED FHD+ 6.4-inci 120Hz, serta bateri 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 15W melalui port USB-C.

Turut diperkatakan, tidak seperti adik beradiknya yang lain, sistem tri-kamera Samsung Galaxy S21 FE tidak akan menyertakan kamera telefoto. Pada kamera hadapannya pula, dikatakan disediakan sebuah kamera 32MP.Samsung-Galaxy-S21-FE-Promosi Tertiris-4

CoinBRS turut mendakwa Samsung akan melancarkan Galaxy S21 FE seawal tahun depan pada 4 Januari 2022 dan kenyataan ini dilihat hampir senada dengan maklumat tertiris dari sumber lain sebelum ini. Dari segi harganya pula, CoinBRS menyatakan telefon pintar ini kelak akan dijual pada harga yang sangat menarik.

Walau apapun, maklumat-maklumat yang ditiriskan ini masih lagi belum dapat dipastikan kesahihannya selagi tiada kenyataan rasmi dari pihak Samsung.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.