Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pelancaran aplikasi baharunya, JPJvBID. Platform ini dikhususkan untuk lelongan awam secara dalam talian kenderaan sita dan dilucut hak. Ia boleh dimuat turun bermula 10 Mac 2026.
Bagi fasa pengenalan, JPJ akan melaksanakan projek rintis di negeri Selangor, melibatkan 30 buah kenderaan pelbagai kelas, termasuk kereta, dan motosikal.
Bakal pembida boleh membeli e-katalog bidaan pada harga RM50 bagi setiap siri lelongan bermula 18 hingga 31 Mac 2026, manakala sesi bidaan sebenar dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 5 April 2026.
“Melalui aplikasi ini (JPJvBID) orang awam tidak lagi perlu hadir ke lokasi kenderaan untuk membuat pemeriksaan fizikal seperti sebelum ini. Jika seseorang yang berada di Johor perlu pergi ke Pulau Pinang untuk menyertai lelongan kenderaan di sana, kini semuanya boleh dilakukan secara dalam talian,” kata Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah JPJ.

Antara spesifikasi dan ciri utama sistem JPJvBID adalah:
- Akses Bersepadu: Pengguna boleh mengakses aplikasi menggunakan ID MyJPJ yang sedia ada atau membuat pendaftaran baharu melalui portal rasmi JPJ.
- Pemeriksaan Maya: Pembida boleh membuat penilaian awal berpandukan imej kenderaan serta laporan penarafan kualiti yang disediakan terus di dalam paparan aplikasi.
- Sokongan Pelbagai Platform: Aplikasi ini ditawarkan secara meluas dan sedia dimuat turun menerusi Google Play Store, Apple App Store, dan Huawei AppGallery.
- Garis Masa Teratur: Keputusan bidaan akan diumumkan pada 6 April 2026, diikuti oleh proses pertukaran hak milik dalam tempoh 14 hari sebelum penyerahan fizikal kenderaan bermula pada 21 April 2026.
Pelaksanaan sistem e-lelongan JPJvBID dijangka dapat meluaskan akses penyertaan orang awam dalam setiap siri lelongan JPJ pada masa akan datang.
Anda boleh mendapatkan aplikasi ini di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.











