Utama Samsung Samsung Galaxy Tab A9 Kids Edition kini di Malaysia pada harga RM799

Samsung Galaxy Tab A9 Kids Edition kini di Malaysia pada harga RM799

61
0

Sama ada suka atau tidak, peranti elektronik seperti tablet atau telefon pintar ada manfaatnya yang tersendiri untuk ibu bapa memberikan hiburan kepada anak-anak.

Ia dapat memberikan sedikit ruang kepada ibu bapa yang sentiasa sibuk melakukan rutin harian di rumah setelah kepenatan di tempat kerja. Atau boleh digunakan untuk membantu anak-anak anda duduk diam-diam di dalam kenderaan ketika perjalanan jauh seperti balik kampung.

Atas sebab itu, terdapat permintaan terhadap peranti yang mempunyai fungsi sedemikian yang memenuhi keperluan ibu bapa dan anak-anak. Samsung baru-baru ini telah memperkenalkan peranti khusus bagi tujuan tersebut dengan memperkenalkan Samsung Galaxy Tab A9 Kids Edition.

Sesuai dengan namanya, tablet mesra kanak-kanak ini didatangkan dengan ciri kawalan ibu bapa yang membolehkan ibu bapa menguruskan masa tontonan dan akses ke aplikasi seperti media sosial dan permainan.

Ia dapat dilakukan menerusi aplikasi Samsung Kids yang telah dipra-pasang di dalam Galaxy Tab A9 Kid Edition. Ia juga menyediakan pelayar terbina dalamnya sendiri dan juga gedung aplikasi yang telah disemak, serta permainan-permainan berbentuk pendidikan.

Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy Tab A9 Kids Edition mempunyai skrin 8.7-inci beresolusi 1,340 x 800, pemprosesan MediaTek Helio G99, RAM 4GB, dan storan 64GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB.

Tablet dengan bateri berkapasiti 5,100mAh ini juga didatangkan dengan kamera belakang 8MP dan kamera hadapan 2MP. Secara keseluruhannya ia mirip dengan model asas tablet ini yang dilancarkan pada tahun lepas.

Samsung Galaxy Tab A9 Kids Edition dijual pada harga RM799 dengan pilihan sokongan ketersambungan hanya dalam bentuk 4G LTE sahaja. Pembelian tablet ini juga didatangkan dengan selongsong lembut (puffy case) dan Crayon Stylus selagi stok masih ada.

Maklumat lanjut dan pembelian Samsung Galaxy Tab A9 Kids Edition boleh dibuat di Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.