Utama Samsung Siri Samsung Galaxy Tab A9 kini di Malaysia; Harga bermula dari RM899

Siri Samsung Galaxy Tab A9 kini di Malaysia; Harga bermula dari RM899

392
0

Siri Samsung Galaxy Tab A9 kini secara rasminya tiba di pasaran Malaysia. Hadir di dalam dua varian iaitu standard dan Plus, tablet ini menampilkan skrin yang paling besar di kalangan Galaxy Tab A setakat ini.

Untuk Galaxy Tab A9, varian ini menampilkan paparan LCD 8.7-inci dengan kadar penyegaran semula skrin 60Hz dan beresolusi 1340 x 800 piksel. Turut disediakan, sepasang pembesar suara stereo Dolby Atmos, kamera utama 8MP dan kamera hadapan 2MP.

Di dalamnya, tablet ini menggunakan cipset MediaTek Helio G99 dengan RAM 4GB, dan storan 64MB. Ia mempunyai bateri berkapasiti 5,100mAh dengan sokongan pengecasan 15W melalui port USB-C. Tablet yang juga dioperasikan oleh Android 13 melalui antaramuka One UI 5.1 ini turut menyokong slot kad mikroSD sehingga 1TB serta Wi-Fi 5, LTE dan Bluetooth 5.3.

Seterusnya, Galaxy Tab A9 Plus yang ditawarkan dengan pilihan 5G + Wi-Fi atau Wi-Fi sahaja menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695. Tablet berkenaan juga hadir dengan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB, serta sokongan kad mikroSD sehingga 1TB. Untuk paparannya pula, ia menampilkan skrin LCD 11-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz beresolusi 1920 x 1200 piksel.

Selain daripada itu, tablet ini didatangkan dengan Android 13 melalui One UI 5.1, bateri 7,040mAh dengan pengecasan 15W melalui USB-C, serta Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.1. Untuk pengimejan, tablet tersebut mempunyai kamera utama 8MP di belakang dengan bahagian hadapan terdapat kamera 5MP.

Harga Galaxy Tab A9 dan Tab A9 Plus di Malaysia

Siri Galaxy Tab A9 kini boleh didapati melalui laman web rasmi Samsung Malaysia dan juga wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

  • Galaxy Tab A9 (RAM 4GB, storan 64GB) – RM899
  • Galaxy Tab A9 Plus, Wi-Fi sahaja (RAM 4GB, storan 64GB) – RM1,099
  • Galaxy Tab A9 Plus, 5G + Wi-Fi (RAM 4GB, storan 64GB) – RM1,649

Kesemuanya ditawarkan dengan pilihan warna Graphite, Silver, dan Navy.

Bersempena pelancarannya, Samsung turut menawarkan diskaun sehingga 30% bagi pembelian-atas-pembelian untuk Samsung Care+ dan aksesori terpilih, bersama-sama langganan Viu Premium selama tiga bulan secara percuma bernilai RM29.90 selagi stok masih ada.

Adapter kuasa 15W dan juga Book Cover Keyboard Slim untuk Galaxy Tab A9 Plus dijual secara berasingan.

Layari laman web rasmi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut Samsung Galaxy Tab A9 dan Galaxy Tab A9 Plus

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.