Proses tender bagi pemilihan peranti untuk inisiatif PerantiSiswa dilaporkan telah selesai dilaksanakan. Berdasarkan keputusan yang dibuat, jenama tablet yang dipilih adalah Samsung melalui model Galaxy Tab A8 LTE.
Tablet berkenaan dilengkapkan dengan skrin LCD 10.5-inci dengan RAM 4GB, berdasarkan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan. Bagaimanapun, untuk aksesori lain seperti papan kekunci dan pena stylus, dijangkakan ia akan menggunakan dari pihak ketiga.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, tablet berkenaan turut didatangkan dengan waranti selama dua tahun dan pemberian kepada pelajar yang layak akan bermula pada bulan ini. Dijangkakan sebanyak 350,000 unit akan disediakan bagi inisiatif ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses edaran PerantiSiswa akan bermula bulan ini dengan permulaan agihan sebanyak 350,000 unit.#SisiTVParlimen#DewanRakyat#AWANInews pic.twitter.com/uQ03jOTiHn
— Astro AWANI (@501Awani) August 4, 2022
Pihak kerajaan juga memberikan kelonggaran syarat bagi pelajar yang berhasrat untuk memohon mendapatkan tablet PerantiSiswa tersebut. Pelajar yang sedang mengikuti prograsi asasi dan matrikulasi di universiti awam, pelajar tingkatan 6 dan juga yang sedang mengikuti pengajian diploma vokasional juga boleh memohon program PerantiSiswa bermula dari sekarang sehingga 30 September 2022.
Buat masa ini, Galaxy Tab A8 hanya ditawarkan dalam versi Wi-Fi sahaja di pasaran Malaysia dengan pilihan RAM 3GB dan storan 32GB sahaja dengan harganya RM999. Versi yang akan diberikan kelak menerusi PerantiSiswa, RAM 4GB, storan 64GB dan 4G LTE ini terdapat di pasaran rantau lain.
Berdasarkan unit Galaxy Tab A8 Wi-Fi sahaja yang pernah kami ulas pada awal tahun ini, ia menggunakan pemprosesan Unisoc Tiger T618. Paparannya menggunakan LCD WUXGA TFT 10.5-inci bersama-sama kamera belakang 8MP dan kamera hadapan 5MP. Untuk audionya, ia menawarkan kuad-pembesar suara dan turut menyediakan bicu audio 3.5mm. Tablet menggunakan sistem operasi Android 11 ini mempunyai bateri berkapasiti 7,040mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 15W melalui USB-C.