Samsung Galaxy S25 Ultra sebelum ini pernah ditunjukkan dalam bentuk imej pengolokan yang mana terdapat sesetengah pentiris yang mendakwa ia sekadar spekulasi semata-mata. Baru-baru ini muncul pula sebuah video yang didakwa menunjukkan telefon pintar mercu keluaran Samsung yang akan datang tersebut.
Pertama kali diketemukan di dalam Reddit dan dilabelkan sebagai “S24 Ultra definitely”, ia telah disanggah oleh pentiris maklumat tersohor Ice Universe di Twitter. Beliau mendakwa video tersebut sebenarnya menunjukkan S25 Ultra.
Obviously S25 Ultra!https://t.co/EVkRTMc5Ul
— ICE UNIVERSE (@UniverseIce) November 26, 2024
Berdasarkan video yang dikongsikan tersebut, telefon pintar tersebut kelihatan mempunyai bahagian bucu yang lebih membulat serta butang kuasa dan suara di tempatkan pada bahagian lebih tinggi dari model sebelumnya.
Terdapat satu lagi imej tertiris baru-baru ini dari OnLeaks yang menunjukkan telefon pintar berkenaan dari pelbagai sudut. Antara yang paling mencuri tumpuan adalah pada kedudukan slot S Pen Galaxy S25 Ultra yang ditempatkan pada bahagian tepinya. Bahagian atas pena stylus tersebut juga kelihatan melengkung untuk dipadankan dengan bucu telefon pintar tersebut.
Pun begitu, video yang didakwa menunjukkan Galaxy S25 Ultra tersebut mungkin model prototaip dan boleh jadi unit yang akan dilancarkan kelak tidak sama seperti yang digambarkan. Samsung dijangkakan akan melancarkan Galaxy S25 Ultra pada 23 Januari 2025.