Awal bulan ini terdapat laporan yang mendakwa Samsung mempunyai rancangan untuk menyaingi Apple dengan memperkenalkan model ‘Slim’ ke dalam setiap siri telefon pintar keluarannya. Pada ketika itu, dikatakan model baharu tersebut akan dilancarkan secara berasingan dari barisan utama siri Galaxy S25 yang menawarkan model asas, Plus dan Ultra seperti biasa.
Terkini, terdapat satu laporan dari laman web dari Korea Selatan yang bukan sekadar mendakwa Samsung Galaxy S25 Slim akan diperkenalkan bersama-sama barisan siri yang sama. Malah tarikh pelancarannya juga turut dinyatakan di dalam laporan yang sama.
FN News melaporkan acara Galaxy Unpacked 2025 yang pertama dijangka berlangsung pada 23 Januari 2025 di San Francisco, California. Laporan tersebut memetik sumber yang mengatakan lokasi tersebut merupakan “pilihan utama”.
Bagaimanapun, tidak banyak maklumat berkenaan Samsung Galaxy S25 Slim dinyatakan daripada laporan tersebut selain memaklumkan ia akan lebih nipis daripada model asas. Sebagai perbandingan, model asas Galaxy S24 berukuran 7.6mm.
Laporan yang sama juga menyatakan kemungkinan siri Galaxy S25 akan lebih mengetengahkan naik taraf perisian berbanding perkakasan. Ini dilihat selaras dengan rancangan Samsung untuk menerbitkan One UI 7 dengan Android 15 bersama-sama telefon pintar mercu baharunya itu nanti.