Turut diperkenalkan bersama-sama Galaxy S23 FE dan siri Galaxy Tab S9 FE, earbud nirwayar Samsung Galaxy Buds FE. Beberapa ciri yang biasa terdapat pada earbud andalan seperti ANC dan mod ambien turut ditawarkan padanya. Turut disertakan bersama-sama dengannya dua pasang wingtips dan tiga pasang ear tips.
Ciri sokongan ANC dan mod ambien pada Galaxy Buds FE ini ditawarkan melalui tiga mikrofon, bersama-sama fungsi “automatic personalised beamforming”. Untuk baterinya pula, earbuds nirwayar ini mampu bertahan sehingga 8.5 jam untuk main semula dalam sekali pengecasan. Jika menggunakan bersama-sama bekas menyimpannya, ia mampu bertahan sehingga 30 jam.
Jika ciri ANC diaktifkan, tempoh penggunaannya dikurangkan kepada 6 jam dan 21 jam jika digunakan bersama-sama bekas menyimpannya.
Ketersambungannya pula seperti biasa dilakukan menerusi Bluetooth 5.2 dengan sokongan Auto Switch untuk kemudahan bertukar-tukar antara peranti oleh pengguna.
Samsung Galaxy Buds FE berharga RM399 dan boleh didapati bermula dari 10 Oktober ini, sama seperti peranti-peranti FE lain keluaran tahun ini.