Utama Telco TM TM turunkan Harga Unifi Fibre, Perkenalkan Pelan Tanpa Had Fibre dan Mobile...

TM turunkan Harga Unifi Fibre, Perkenalkan Pelan Tanpa Had Fibre dan Mobile baharu

611
0

TM telah mengumumkan perubahan besar untuk pelan jalur lebar Unifi Fibre untuk pengguna dan perniagaan. Bermula dari 4 Oktober, penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini kini menawarkan pelan bermula dari 100Mbps pada harga yang lebih rendah. Turut diperkenalkan pelan 1Gbps dan 2Gbps serta pakej Unifi Fibre + Mobile baharu.

Untuk pengguna, pakej Unifi baharu ini menawarkan 100Mbps pada harga RM99 sebulan. Diikuti oleh 300Mbps pada harga RM139 sebulan, 500Mbps pada RM159 sebulan, 1Gbps pada harga RM289 sebulan dan 2Gbps pada harga RM319 sebulan. Kedua-dua pelan 1Gbps dan 2Gbps boleh dilanggan secara berasingan tanpa perlu mendaftar pelan Unifi TV.

Bersempena pengenalan harga baharu ini, TM turut menawarkan pelan Unifi 100Mbps pada harga diskaun RM89 sebulan untuk waktu terhad.

Tawaran untuk pelanggan perniagaan

Seterusnya, untuk pelanggan perniagaan pula, pelan 100Mbps kini ditawarkan pada 129 sebulan, 300Mbps pada RM249 sebulan, 500Mbps pada RM299 sebulan, 1Gbps pada RM319 sebulan dan 2Gbps pada harga RM369 sebulan.

Menurut TM, semua pelan berkenaan didatangkan dengan pelan panggilan bersuara percuma bersama-sama sokongan premium. Sama seperti yang ditawarkan kepada pengguna, pelanggan perniagaan yang melanggan pelan 100Mbps turut menerima diskaun pada harga RM99 sebulan.

Pelanggan pakej Unifi sedia ada pula akan menerima naik taraf percuma sebagai tanda terima kasih untuk sokongan kepada TM selama ini. Naik taraf ini akan memberikan pelanggan pakej 30Mbps dinaik taraf kepada 100Mbps. Manakala untuk pakej 100Mbps sebelum ini akan dinaiktaraf 300Mbps dan juga pakej-pakej lain yang seterusnya.

Pelaksanaan perubahan tersebut akan dilakukan dalam tempoh sepanjang tiga bulan ini dan para pelanggan akan dimaklumkan pakej yang dilanggan telah dinaiktaraf. TM juga menambah, pelanggan sedia ada boleh melanggan pelan berkelajuan berbeza jika tempoh kontrak semasa telah selesai. Pakej Unifi 30Mbps dan 800Mbps juga tidak lagi ditawarkan susulan perubahan harga baharu ini.

Seterusnya pakej Unifi Fibre + Mobile turut memperkenalkan harga baharu. Ia menawarkan talian fiber 100Mbps, pelan data mudah alih tanpa had 4G + 5G, dan telefon pintar 5G percuma dan kini ditawarkan pada harga RM149 sebulan.

Dalam pada masa yang sama, TM juga meneruskan penawarkan Pakej Rahmah Unifi 30Mbps pada harga RM69 sebulan khusus untuk golongan B40, OKU, warga emas dan veteran.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Unifi

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.