Ura-ura terkini mengatakan Samsung ingin mengintegrasikan Galaxy AI ke dalam siri Galaxy A. Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang petunjuk yang sahih yang menunjukkan syarikat gergasi dari Korea Selatan ini akan memperkenalkan ciri AI generatif ke dalam telefon pintar peringkat menengah keluarannya.
Suit Galaxy AI sering diketengahkan di dalam model-model telefon pintar mercu dengan siri Galaxy S24 merupakan model pertama yang menampilkan sokongan tersebut. Antara ciri-ciri yang memanfaatkan platform Galaxy AI termasuklah Call Assist, Photo Assist dan Circle to Search menerusi kemaskini One UI 6.1.
Menurut sumber, ciri-ciri Galaxy AI berkenaan kelak akan diperluaskan ke lebih banyak model-model Galaxy peringkat menengah. Ia dikatakan akan dimulakan dengan beberapa siri Galaxy A keluaran tahun 2024 seperti Galaxy A35 dan Galaxy A55 melalui kemaskini One UI 6.1.1 dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.
Cuma, dijangkakan tidak semua ciri Galaxy AI akan tersedia pad Galaxy A35 dan Galaxy A55 memandangkan beberapa ciri tersebut hanya dikhususkan pada model-model yang lebih mercu.