Utama Telco Maxis Maxis dan TIME dilaporkan melaksanakan Proksi DNS Telus pada Pelayan DNS Awam

Maxis dan TIME dilaporkan melaksanakan Proksi DNS Telus pada Pelayan DNS Awam

249
0

Dua penyedia perkhidmatan internet (internet service provider, ISP) tempatan, Maxis dan TIME telah melaksanakan proksi DNS telus, menurut inisiatif ketelusan dan akauntabiliti Sinar Project. Pelaksanaan ini menghala semula (redirect) kuiri DNS ke pelayan DNS awam Google dan Cloudflare, seterusnya menyebabkan pengguna tidak lagi boleh mengakses laman-laman web yang disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Berdasarkan ujian secara diautomasikan dan manual oleh pihak Sinar Project, didapati Maxis dan TIME telah melaksanakan proksi DNS telus pada 5 Ogos 2024. Pengguna yang mengkonfigurasikan tetapan internet kepada pelayan DNS alternatif melaporkan tidak lagi dapat mengakses ke laman-laman web yang disekat oleh SKMM dan berdepan dengan ralat sambungan masa tamat (time-out).

Inisiatif berkenaan juga menyatakan Maxis secara automatik menghalakan semula kuiri DNS ke DNS Awam Google (8.8.8.8) ke pelayannya sendiri. TIME juga melakukan perkara yang sama dengan menghalakan semula kuiri DNS Awam Google (8.8.8.8) dan DNS Awam Cloudflare (1.1.1.1) ke pelayannya sendiri. Selain dari laman-laman web yang disekat SKMM, alamat-alamat lain yang dikembalikan semula dari pelayan DNS ISP-ISP juga boleh berbeza dari yang dikembalikan semula dari Google dan Cloudflare.

Penemuan ini juga mendedahkan ujian pengukuran dari Open Observatory of Network Interference (OONI) telah mengesahkan beberapa ISP dari Malaysia melaksanakan proksi DNS telus. Data yang dikumpulkan menerusi aplikasi OONI Probe oleh Sinar Project dan para sukarelawan menunjukkan sekatan dan pengacauan (tampering) DNS, menghalakan semula kuiri ke alamat IP SKMM (175.139.142.25).

Selain itu, data OONI menunjukkan walaupun perkhidmatan DNS kelihatan seperti dari Google atau Cloudflare, ia sebenarnya dilayan oleh proksi DNS telus ISP-ISP berkenaan. Ia seterusnya menyekat laman-laman web yang seperti diarahkan oleh SKMM.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.