Galaxy S24 Ultra – model paling mercu dari siri Galaxy S24 – hadir dengan rekaan yang hampir sama dengan rekaan unik model Galaxy S Ultra sebelumnya. Walaupun nampak sama sekilas pandang, penambahan yang ketara dari segi penawaran perisiannya memberikan impak pada pengalaman penggunaannya.
Model kali memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, A.I.) menerusi Galaxy AI kepada penggunannya. Atas sebab itu, walaupun tidak menawarkan peningkatan ketara dari segi perkakasannya, penambahan ciri AI di dalamnya mampu memberikan kelainan yang tiada tolok bandingnya pada Galaxy S24 Ultra.
Pendek kata, walaupun luarannya nampak ‘lama’ di dalamnya penuh serba-serbi dengan teknologi baharu. Ia memberikan kelebihan buat pengguna yang sudah biasa menggunakan model Ultra sebelum ini tanpa membuatkan rasa kekok menggunakan ciri-ciri baharu yang diperkenalkannya.
Isi Kandungan
Spesifikasi
Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy |
RAM | 12GB |
Storan | 256GB, 512GB, atau 1TB |
Bateri | 5,000mAh |
Port | USB-C |
Sistem Operasi | Android 14 melalui OneUI 6.1 |
Kamera Hadapan | 12MP, f/2.2 |
Kamera Belakang | Utama 200MP, f/1.7; ultra-lebar 12MP, f/2.2; 10MP telefoto (3x); 50MP, f/3.4 telefoto (5x) |
Ketersambungan | UWB, NFC |
Ukuran | 162.6 × 79.0 × 8.6mm |
Warna | Titanium Black, Titanium Gray, Titanium Violet, Titanium Yellow |
Jenis paparan | LTPO AMOLED, 1-120Hz |
Berat | 233g |
Kelajuan Pengecasan | 45W berwayar, 15W nirwayar |
Kerintangan Air dan Debu | IP68 |
Harga | RM6,299 |
Stylus | Ada – S Pen |
Ukuran paparan | 6.8-inci, 19.3:9 |
Resolusi paparan | 3088 × 1440 piksel |
Pilihan Pengecasan | Berwayar, nirwayar, pengecasan berbalik |
Ketersambungan selular | 5G mmWave & sub-6, LTE |
Ketersambungan Wi-Fi | Wi-Fi 7 |
Bluetooth | Bluetooth 5.3 |
Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan
- Skrin paparan telefon pintar yang terbaik
- Bucu skrin yang rata
- Fotografi yang baik
- Prestasi mantap dengan bateri tahan untuk sehari
Kekurangan
- Tiada sokongan Bahasa Melayu dan bahasa lain seperti Tamil, Arab dan Indonesia buat masa ini untuk fungsi-fungsi AI
Rekaan dan paparan
Bagi anda yang pernah melihat siri Galaxy S Ultra yang menggantikan siri Galaxy Note bermula dari tahun 2019, anda mungkin mendapati Samsung kini lebih menumpukan pada memurnikan rekaan sedia ada tanpa perubahan besar-besaran. Langkah ini dilihat mampu memberikan keutamaan pada kelebihan dalaman telefon pintar itu sendiri tanpa meningkatkan risiko yang boleh menjejaskan reputasi sedia adanya.
Sekali pandang pada permukaan belakangnya, Galaxy S24 Ultra mempunyai persamaan yang amat ketara kecuali pada kemasannya dan juga kedudukan kameranya yang sedikit berbeza. Kerangkanya juga berbeza dengan sebelum ini yang menggunakan aluminium dan digantikan dengan titanium.
Saya tidak pasti apakah kelebihan pada penggunaan kerangka titanium berbanding aluminium ini memandangkan beratnya tidak jauh beza pun antara satu sama lain dengan model terdahulu.
Pada bahagian hadapannya pula, perubahan dilihat sedikit ketara. Samsung akhirnya tidak lagi membawakan rekaan skrin melengkung pada telefon pintar premium keluarannya. Mungkin trend skrin melengkung pada telefon pintar sudah mula beransur pergi?
Skrin rata ini pada pandangan saya membuatkan ia lebih mudah untuk dipegang selain mengurangkan risiko tertekan paparan secara tidak sengaja. Tambahan pula bagi pengguna yang gemar menggunakan S Pen seperti saya, skrin yang rata ini amat memudahkan saya memanfaatkan keseluruhan paparan Galaxy S24 Ultra ketika melukis.
Perbezaan antara Galaxy S24 Ultra dengan Galaxy S23 Ultra juga dapat dilihat pada corong pembesar suaranya. Galaxy S24 Ultra hanya mempunyai satu lubang bergaris panjang sahaja untuk pembesar suaranya. Begitu juga dengan bentuk kepala S Pen Galaxy S24 Ultra yang berbentuk rata berbanding Galaxy S23 Ultra yang lebih membulat.
Seperti biasa, telefon pintar Samsung sentiasa mempunyai kelebihan pada skrinnya. Untuk Galaxy S24 Ultra, paparan AMOLED 6.8-inci yang digunakannya merupakan telefon pintar pertama yang mempunyai perlindungan Corning Gorilla Glass Armor. Selain mempunyai kelebihan dari segi kelasakan yang tinggi, kaca ini juga mengurangkan silau pada paparan. Saya mendapati kandungan yang dipaparkan melalui paparan ini juga tampak lebih jelas apabila kesan silau dari cahaya luar berjaya dikurangkan oleh kaca pada skrinnya.
Paparan yang mempunyai resolusi 1440p ini juga mempunyai kadar penyegaran semula adaptif 1-120Hz dan juga tahap kecerahan puncak 2,600 nits.
Perkakasan dan Prestasi
Bagi anda yang biasa menggunakan model Galaxy S Ultra sebelum ini, S24 Ultra seperti yang dijangka memberikan yang terbaik dari segi sentuhan haptik, kualiti pembesar suara dan juga ciri keseluruhan fizikal termasuk butang-butangnya. Semuanya seperti yang dijangka bagi sesebuah telefon pintar mercu premium.
Begitu juga dengan pena stylus S Pen yang ditawarkan masih lagi cemerlang seperti sebelumnya. Apa yang membezakan dengan S Pen model terdahulu adalah pada kepalanya yang lebih rata.
Pengendaliannya juga cemerlang hasil dari penggunaan pemprosesan antara terbaik tahun ini Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy. Kandungan berdefinisi tinggi dari media penstriman Netflix dapat dipaparkan dengan cemerlang yang dibantu juga dari skrin kurang silau Corning Gorilla Glass Armor seperti yang diceritakan tadi.
Permainan-permainan mudah alih juga dapat memainkan hampir segala jenis judul yang ditawarkan dari gedung aplikasi. Begitu juga kerja-kerja suntingan video menggunakan aplikasi seperti CapCut atau alatan penyunting videon terbina dalamnya juga dapat digunakan dengan cemerlang.
Pendek kata, tiada apa yang dapat saya kritik mengenai Galaxy S24 Ultra ini dari segi pengendaliannya. Seolahnya saya mengulangi semula kecemerlangan Galaxy S23 Ultra sebelum ini.
Jika segalanya kelihatan hampir sama, apa yang membezakan Galaxy S23 Ultra dengan Galaxy S24 Ultra?
Perisian
Beza antara kedua-dua model telefon pintar tersebut terletak pada ciri kecerdasan buatan (artificial intelligence, A.I.) yang ditawarkannya.
Buat pertama kalinya, Samsung memperkenalkan platform Galaxy AI untuk siri Galaxy S24 termasuk model Ultra ini. Teknologi ini dikirakan masih lagi diperingkat awal untuk kegunaan orang ramai, namun mempunyai potensi untuk dikembangkan kelak melalui pelbagai sokongan dan alatan.
Circle To Search
Antara yang diketengahkan ciri Circle To Search yang membolehkan anda membuat carian berdasarkan imej melalui enjin carian Google dengan menekan bahagian bawah skrin Galaxy S24 Ultra.
Anda juga boleh menggunakannya bersama-sama aplikasi Camera dan menekan bahagian bawah skrin sehingga paparan berubah kepada ‘Circle To Search’. Seterusnya anda boleh menandakan imej yang ingin anda cari dengan melukiskan bulatan di sekitarnya dan paparan yang berubah untuk membawakan hasil-hasil carian berdasarkan imej yang dibulatkan.
Note Assist
Satu lagi ciri menarik yang dibawakan oleh Galaxy AI di dalam Galaxy S24 Ultra – Note Assist – yang membantu anda membuat catitan nota di dalam aplikasi Note dengan lebih baik. Ciri ini dapat memperelokkan tulisan tangan di samping mengubahkannya kepada bentuk teks seperti ditaip.
Secara kasarnya ia dapat digunakan dengan baik kecuali beberapa kesilapan ejaan terutama apabila melibatkan tulisan tangan yang buruk seperti tulisan cakar ayam.
Ia amat berguna untuk anda menyalin nota ketika di dalam sesi kuliah atau ketika mencatatkan minit mesyuarat. Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan mengetik pada ikon Galaxy AI (bentuk bintang tiga) dan satu menu berkaitan kecerdasan buatan akan muncul untuk pilihan anda selanjutnya.
Ciri-ciri unik dengan janaan A.I. ini disertakan bersama-sama di dalam antaramuka One UI 6.1 yang diperkenalkan bersama-sama pelancaran rasmi siri Galaxy S24. Bagi anda yang biasa menggunakan telefon pintar Galaxy, antaramuka ini sememangnya tidak asing lagi buat anda.
One UI 6.1
Sebaik sahaja anda menyahkotak Galaxy S24 Ultra, telefon pintar ini didatangkan dengan antaramuka One UI 6.1 yang berasaskan Android 13. Antaramuka ini juga turut sama digunakan pada Galaxy S24 dan juga S24 Plus.
Kemaskini perisian ini juga hadir dengan pelbagai ciri baharu yang dilihat diperkenalkan secara khusus untuk siri Galaxy S24. Terdapat kira-kira tujuh ciri yang wajar diketengahkan melalui kemaskini ini seperti:
- Widget skrin berkunci (lock screen widgets)
- Quick Share
- Tetapan Perlindungan Bateri
- Widget Kamera Expert RAW Tersuai
- Suntingan Foto AI
- Hiasan latar janaan AI
- Terjemahan secara masa nyata dalam panggilan telefon
Ciri sokongan AI berkait dengan teks seperti Writing Assist dan Note Assist serta terjemahan seperti Live Translation bagaimanapun hanya menyokong 13 jenis bahasa sahaja buat masa ini. Tiada sokongan bahasa-bahasa pertuturan lazim lain di Malaysia seperti Bahasa Melayu, Tamil, Arab dan Kantonis.
Kemaskini lebih banyak bahasa dijangka akan ditawarkan oleh Samsung di masa akan datang dan ia mampu memberikan lebih banyak kelebihan kepada lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan platform Galaxy AI.
Kamera Samsung Galaxy S24 Ultra
Fotografi menggunakan kamera-kamera Galaxy S24 Ultra secara keseluruhannya mampu mengambil gambar dengan cemerlang. Baik gambar pemandangan mahupun potret, segalanya dapat ditangkap dengan cemerlang.
Galaxy S24 Ultra mempunyai kamera utama 200 megapiksel, kamera bersudut lebar 12MP serta sepasang kamera telefoto dengan satu kamera 10MP dan satu lagi 50MP. Kamera-kamera ini menyediakan zum optikal 3x dan 5x, juga zum berkualiti optikal 2x dan 10x.
Contoh foto yang diambil menggunakan Galaxy S24
Fotografi masih lagi menjadi kekuatan utama pada Galaxy S24 Ultra melalui penawaran oleh kamera-kamera yang dinyatakan tadi. Gambar-gambar yang ditangkap juga nampak cantik sesuai dengan taraf premium telefon pintar ini. Kekuatan ini wajar dikekalkan oleh Samsung sungguhpun siri kali ini dilihat lebih mengutamakan fungsi AI di dalamnya.
Hampir semua kamera berkenaan sama seperti yang terdapat pada Galaxy S23 Ultra kecuali kamera-kamera telefotonya yang kedua-duanya mempunyai 10MP. Kamera telefoto pada Galaxy S23 Ultra tersebut juga menyediakan zum optikal 3x dan 10x.
Bezanya, Galaxy S24 Ultra melakukan zum 10x secara hybrid dengan menggunakan perisian, manakala zum 10x pada Galaxy S23 Ultra dilakukan secara optikal dari lensa kamera telefoto tersebut. Kualiti imej antara kedua-duanya kelihatan terutama dari segi kejituannya yang pada saya, kualiti telefoto 10x Galaxy S23 Ultra adalah lebih baik.
Pandangan peribadi ini mungkin terdorong dari kebiasaan saya menggunakan telefoto 10x Galaxy S23 Ultra sebelum ini dan penelitian lanjut tentang perbandingan ini akan saya lakukan kelak. Diharapkan kemaskini yang akan datang mampu menangani isu kejituan foto melalui zum 10x berkualiti optikal pada telefoto 10x Galaxy S24 Ultra kelak.
Fotografi malam atau dikenali sebagai Nightography masih lagi menjadi kekuatan utama siri Galaxy S Ultra ini dengan tangkapan pada waktu malam kelihatan jelas. Gambar bulan mengambang juga, seperti S Ultra sebelumnya dapat ditangkap dengan baik.
Bateri
Penggunaan pada kadar biasa mampu ditampung selama lebih dari satu hari oleh bateri Galaxy S24 Ultra tanpa sebarang masalah. Ia juga sesuai digunakan sebagai telefon pintar kegunaan harian jika anda menggunakan rangkaian selular 5G serta juga jenis rajin menangkap gambar dan video.
Pengecasannya juga menyokong penggunaan pengecas 45W dan boleh dicaskan sehingga 50 peratus kapasiti dalam tempoh 30 minit.
Tiada sebarang isu berkenaan kapasiti bateri serta kadar pengecasan untuk Galaxy S24 Ultra ini melainkan yang baik-baik belaka.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Galaxy S24 Ultra masih mampu meneruskan kecemerlangan siri Galaxy S Ultra tanpa membawakan perubahan ketara pada perkakasannya. Cukup sekadar menaik taraf pemprosesan kepada Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy, prestasi yang ditawarkan olehnya mencukupi bagi menyaingi penawaran telefon pintar premium lain sepanjang tahun ini.
Dari segi perisiannya pula ia arat dengan sokongan ciri-ciri AI yang unik dan mampu meningkatkan produktiviti pengguna. Komunikasi berbilang bahasa juga dapat dipermudahkan melalui sokongan terjemahan masa nyata.
Jika Samsung kelak menawarkan lebih banyak sokongan bahasa kelak seperti Bahasa Melayu, Galaxy S24 Ultra dijangka mampu menarik minat pengguna yang ingin meningkatkan produktiviti harian melalui telefon pintar.