Telefon pintar peringkat menengah pada harga ‘agak mampu milik’ baharu Samsung Galaxy A35 telah memasuki pasaran Malaysia dengan berharga RM1,699. Tahun ini telefon pintar model berkenaan membawakan apa yang bersesuaian dengan harganya.
Skrin yang cantik, sepasang pembesar suara yang bagus, cipset dengan kuasa yang mencukupi dan badan yang lebih tahan lasak. Tidak dilupakan, kameranya antara yang berbaloi dan sepadan.
Isi Kandungan
Spesifikasi Galaxy A35
Samsung Galaxy A35 | |
---|---|
Skrin | 6.6″ Super AMOLED, FHD+, 120Hz |
Pemproses | Exynos 1380 (5nm) |
Cip | 4 X 2.4 GHz Cortex A78 4 X 2.0 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Mali-G68 MP5 |
RAM | 8GB LPDDR4X |
Storan Dalaman | 256GB UFS 3.1 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 5MP f/2.4, (Makro) |
Kamera Hadapan | 32 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5,000 mAh Pengecasan berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kerintangan air dan debu | IP67 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin optikal |
Harga Jualan | RM 1,699 (12GB/256GB) |
Sama seperti model Galaxy A55, Galaxy A35 juga pertama kali menggunakan mempunyai permukaan kaca di bahagian belakangnya menggantikan plastik sebelum ini. Ia pastinya memberikan rasa lebih premium pada Galaxy A35.
Oleh kerana kaca lebih tumpat berbanding plastik, Galaxy A35 lebih berat pada 209g berbanding Galaxy A34 5G yang seberat 199g.
Kerangkanya pula diperbuat daripada plastik, namun tidak menjadikan ia kelihatan murah. Rekaan sisi pada kerangkanya juga mempunyai sedikit berbonggol pada bahagian butang fizikalnya, sama seperti yang terdapat pada Galaxy A55.
Ukurannya pula masih lagi sama seperti Galaxy A35 5G, 161.7 x 78.0 x 8.2 mm dengan kesemua sisinya rata dan bucunya yang membulat. Terdapat tiga buah kamera pada bahagian belakangnya yang menampakkan ia sedikit mirip dengan Galaxy S24 atau S24 Plus. Warna yang ditawarkannya pula terdiri daripada Navy, Lilac dan Iceblue seperti unit ulasan yang kami terima ini.
Biasanya telefon pintar yang setara dengannya seringkali hadir dengan pelbagai barangan di dalam kotak pembungkusannya seperti pengecas, selongsong dan sebagainya. Namun, Samsung hanya sekadar memberikan seutas kabel pengecas, pin penolak slot dan helaian panduan selain telefon pintar berkenaan.
Skrin yang cantik seakan menjadi perkara wajib pada telefon pintar hari ini termasuk peringkat menengah dan Samsung yang merupakan antara yang terbaik menawarkan ciri tersebut melengkapkannya pada Galaxy A35.
Anda ditawarkan dengan skrin AMOLED 6.6-inci yang hebat dengan resolusi 1080 x 2340 piksel. Ia merupakan skrin yang sama ditawarkan pada Galaxy A34 5G sebelum ini, namun dibezakan kadar penyegaran semula dan kaca perlindungannya.
Kadar penyegaran 120Hz yang ditawarkan olehnya merupakan jenis boleh laras yang akan diturunkan kepada 60Hz secara automatik bagi menjimatkan bateri. Perlindungan skrinnya pula menggunakan kaca Corning Gorilla Victus+ yang lebih lasak dari kesan calar dan jatuhan berbanding Gorilla Glass 5 yang digunakannya sebelum ini.
Tontonan kandungan dan permainan video menggunakan Galaxy A35 juga menarik seperti model sebelumnya dengan anda juga masih boleh melihatnya di bawah cahaya matahari. Tambah menarik lagi, bingkainya juga kini lebih nipis.
Turut disediakan sokongan pengimbas cap jari terbina bawah skrin untuk model telefon pintar ini. Ia merupakan dari jenis penderia optikal dan ia bukanlah yang terpantas di kalangan teknologi tersebut. Namun, ia mampu membaca cap jari dengan tepat.
Kamera
Kamera utamanya telah dinaik taraf dengan sensor baharu dengan menawarkan 50MP berbanding 48MP sebelum ini. Dua buah lagi kameranya iaitu ultra-lebar 8MP dan makro 5MP pula kekal sama seperti sebelum ini.
Teknologi pixel binning digunakan juga pada kamera utama Galaxy A35 ini yang secara asasnya mewujudkan piksel-piksel yang lebih besar dari piksel-piksel kecil. Oleh itu imej yang ditangkapnya secara lalai menggunakan resolusi 12.5MP walaupun sensornya adalah 50MP. Sama seperti kebanyakan telefon pintar yang mempunyai sensor yang besar, mod 50MP masih lagi ditawarkan untuk pengguna yang memerlukannya.
Untuk rakaman video pula, Galaxy A35 tidak boleh mengubah antara kamera utama dengan ultra lebar jika rakaman pada 4K 30fps atau 1080p 60fps sedang dilakukan. Ia boleh dilakukan untuk rakaman video pada 1080p 30fps.
Galaxy A35 boleh dianggap sebagai salah satu sistem kamera telefon pintar terbaik pada bajet ini secara amnya. Imej yang ditangkapnya kelihatan kemas, tanpa terlebih ‘tajam’. Warnanya pula kelihatan terang tanpa terlebih tumpat dan ia seiring dengan trend semasa Samsung yang mengurangkan tahap terang pada warna foto yang dihasilkan oleh kamera telefon pintarnya.
Prestasi HDR untuk foto yang dihasilkannya juga telah dipertingkatkan dengan perincian di dalam kawasan berbayang lebih tinggi menjadikan imej lebih menarik untuk dilihat. Cuma untuk kamera ultra lebar, julat dinamiknya tidak setanding dengan kamera utamanya.
Dalam keadaan kurang pencahayaan, kamera Galaxy A35 menawarkan prestasi yang agak baik untuk tarafnya. Perinciannya agak lumayan dan pengurangan hingarnya dilakukan bagi mengekalkan kejituannya selain warna yang dipaparkannya juga kelihatan memuaskan.
Tiada telefoto disediakan pada Galaxy A35 dan zum hanya boleh dilakukan secara digital dengan tahap terbaik yang mampu dilakukannya adalah pada 2x. Untuk 5x dan 10x gambarnya akan mula kelihatan pecah.
Penstabilan ketika rakaman video menggunakan telefon pintar ini kelihatan sedikit bergegar. Namun, mengambil kira faktor harga yang ditawarkannya saya masih mampu bertolak ansur dan setidaknya ia mampu merakamkan video 4K pada 30fps. Rakaman video 4K juga kelihatan jitu dengan penghasilan semula julat dinamik dan warna yang baik. Untuk rakaman menggunakan kamera ultra lebar pula, kualitinya pula tidak seperti yang diharapkan.
Prestasi
Samsung melengkapkan Galaxy A35 dengan pemprosesan Exynos 1380, jenis yang sama digunakan pada Galaxy A54 5G pada tahun lepas. Ia merupakan naik taraf dari penggunaan MediaTek Dimensity 1080 pada Galaxy A34 5G sebelum ini terutamanya pada grafik 3D.
Memainkan permainan seperti Mobile Legends dapat dikendalikan tanpa sebarang masalah dengan tetapan grafik ditetapkan pada sederhana. Cuma telefon pintar ini dapat dirasakan agak panas ketika memainkan permainan mudah alih dan ini sememangnya sudah dijangkakan untuk pemprosesan jenis ini.
Walaupun prestasinya baik ketika memainkan permainan, telefon pintar ini kadang-kadang tersangkut-sangkut sedikit ketika mengendalikan antaramukanya. Ia mengambil sedikit masa untuk mengurangkan kesan tersangkutnya dan lama-kelamaan ia akan mula lancar. Ia sepatutnya tidak berlaku mengambil kira kapasiti RAM yang ditawarkannya juga agak besar pada 8GB. Mungkin isu sebegini akan dapat diatasi kelak melalui kemaskini One UI kelak.
Perisian
Bercakap mengenai perisian, Galaxy A35 didatangkan dengan antaramuka One UI 6.1 yang berasaskan Android 14. Ia kelak akan menerima sokongan kemaskini perisian dalam tempoh 4 tahun dan 5 tahun untuk kemaskini keselamatan.
Penawaran ini mungkin dirasakan adalah sesuatu yang lazim untuk telefon pintar mercu, namun untuk telefon pintar peringkat menengah rendah ia adalah satu kelebihan.
Antaramuka One UI 6.1 merupakan antaramuka yang kemas dan mudah dikendalikan. Terdapat sejumlah ciri yang membantu seperti widget pada skrin berkunci yang memberikan akses mudah kepada maklumat. Bersama-sama sokongan ‘Always-on Display’ (AoD) kefungsian ini menjadikan ia lebih berguna.
Fungsi utiliti seperti Quick Share juga disediakan pada Galaxy A35 ini bagi memudahkan anda berkongsikan fail antara peranti Android dan PC Windows.
Cuma apa yang agak menjengkelkan sedikit apabila mendapati telefon pintar ini didatangkan dengan aplikasi-aplikasi sarap yang mungkin tidak begitu berguna pada sesetengah pengguna. Ia boleh dipadamkan, namun ia tetap menjengkelkan.
Sokongan Keselamatan dengan Samsung Knox
Pun begitu, sekurang-kurangnya Galaxy A35 didatangkan dengan platform keselamatan termaju yang kebiasaannya disediakan di dalam telefon pintar mercu. Platform ini dapat membantu pengguna mencegah ancaman-ancaman siber seperti kecurian maklumat dan data peribadi.
Samsung Knox melindungi data anda di setiap lapisan dengan menyediakan perlindungan hujung ke hujung. Di terasnya, subsistem selamat Knox Vault mengenkripsikan data anda dan menyimpankannya di dalam lokasi kalis kekacauan.
Bateri
Kapasiti bateri Galaxy A35 5G tidak berubah dari model sebelumnya, 5,000mAh dan mampu bertahan bagi penggunaan yang berat. Anda boleh menjimatkannya lagi dengan mengurangkan kadar penyegaran semula skrin kepada hanya 60Hz sahaja. Bagi penggunaan ringan dan sederhana, Galaxy A35 mampu bertahan lebih dari sehari.
Untuk pengecasannya pula, Samsung masih lagi kekal menawarkan sokongan pengecasan pada 25W sahaja. Melalui kadar tersebut, Galaxy A35 boleh dicaskan dari sifar sehingga penuh dalam tempoh sekitar 1 jam 30 minit.
Kesimpulan
Galaxy A35 disarankan untuk anda yang sedang mencari telefon pintar pada harga sederhana dengan keupayaan mengambil foto dan merakam video dengan baik. Ia boleh dikirakan sebagai antara telefon pintar menengah rendah yang mempunyai prestasi kamera yang baik.
Ia juga mampu menjadi peranti pemain media yang baik melalui paparan yang cantik dan sepasang pembesar suara yang baik bersama-sama ketahanan bateri yang agak tahan lama.
Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan | Kekurangan |
Kamera yang hebat untuk telefon pintar pada harganya | Pengimbas cap jari terbina bawah skrin yang agak perlahan. |
Berkecekapan penggunaan tenaga dengan bateri tahan lama | Antaramuka yang sedikit tersangkut |
Gabungan skrin dan pembesar suara yang bagus | Prestasi pemprosesan yang sederhana |
Perlindungan keselamatan Samsung Knox |
Harga Samsung Galaxy A35 di Malaysia
Samsung Galaxy A35 boleh didapati bermula sejak 22 Mac 2024 di Samsung Experience Stores, Samsung Authorised Retailers dan Kedai Dalam Talian Rasmi Samsung Malaysia selain secara dalam talian di Shopee dan Lazada pada harga:
- Samsung Galaxy A35; RAM 8GB, storan 256GB – RM1,699