Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy A55; Tidak begitu menonjol, tetapi naiktarafnya berbaloi

Ulasan Samsung Galaxy A55; Tidak begitu menonjol, tetapi naiktarafnya berbaloi

81
0

Pada kebiasaannya Samsung akan memperkenalkan dua telefon pintar peringkat menengah baharunya menerusi siri Galaxy A5x dan Galaxy A3x. Juga, seperti biasa spesifikasi model Galaxy A5x lebih tinggi daripada Galaxy A3x.

Tahun ini Samsung membawakan Galaxy A55 dan Galaxy A35 ke pasaran Malaysia. Jika dibandingkan secara populariti di kalangan telefon pintar keluaran Samsung, model Galaxy A5x boleh dikirakan sebagai paling popular selepas siri Galaxy S dan Galaxy Z.

Galaxy A55 juga membawakan beberapa penambahbaikan dalam beberapa aspek dari model tahun lepas seperti paparan yang lebih besar, pemprosesan yang lebih berkuasa, RAM yang lebih besar serta binaan yang lebih kental dan premium.

Spesifikasi Samsung Galaxy A55

Samsung Galaxy A55
Skrin6.8″ Super AMOLED,
FHD+, 120Hz
PemprosesExynos 1480 (4nm)
Cip4 X 2.75 GHz Cortex A78
4 X 2.0 GHz Cortex A55
Cip GrafikSamsung Xclipse 530
RAM12GB LPDDR4X
Storan Dalaman256GB UFS 3.1
Mikro SD 1TB
Kamera Utama50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
5MP f/2.4, (Makro)
Kamera Hadapan32 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 25W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kerintangan air dan debuIP67
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 1999 (12GB/256GB)

Lain-lain aspek yang menjadikan Galaxy A54 5G sebelum ini berjaya masih lagi dikekalkan seperti sokongan kad mikroSD, kamera utama yang bagus dengan ultra lebar yang memuaskan, bateri dengan ketahanan yang baik serta kerintangan air dan debu IP67. Malah, untuk model kali ini ia menggunakan kerangka aluminium dengan perlindungan kaca Corning Gorilla Glass Victus+.

Rekaan

Galaxy A55 merupakan generasi pertama di kalangan siri Samsung Galaxy A5x yang tidak lagi mempunyai bahan plastik pada permukaannya. Kerangkanya yang diperbuat daripada aluminium menjadikannya bukan sekadar kelihatan premium, malah dirasakan hampir seperti Galaxy S24 atau S24 Plus.

Ukurannya juga lebih besar sedikit berbanding model terdahulu iaitu pada 158.2 x 76.7 x 8.2mm. Namun masih lagi selesa untuk dipegang walaupun sedikit berat pada kira-kira 10g kerana bahan logam yang digunakannya pada kerangkanya. Kerangka berkenaan juga menampilkan rekaan baharu yang kini mempunyai sedikit berbonggol pada bahagian sisi butang kuasa dan kawalan bunyinya.

Galaxy A55 hadir dengan empat pilihan warna iaitu Iceblue, Navy, Lemon dan Lilac seperti unit ulasan yang kami terima ini. Warna Lilac ini pada saya mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana boleh berubah-ubah apabila dipandang dari sudut-sudut yang berbeza.

Untuk paparannya, ia masih lagi sama seperti keluaran tahun lepas dengan menampilkan paparan AMOLED berresolusi 2400 x 1080 piksel, sokongan HDR 10 dan tahap kecerahan yang sama. Namun, ia berbeza dengan saiz skrinnya yang sedikit besar pada 6.6-inci berbanding 6.4-inci seperti pada Galaxy A54 5G tahun lepas. Ia juga mempunyai kadar penyegaran semula boleh laras yang boleh berubah-ubah dari 120Hz ke 60Hz bagi menjimatkan tenaga.

Bingkai pada kesemua sisinya juga semakin mengecil kecuali pada bahagian bawahnya yang masih lagi kelihatan agak tebal. Pun begitu, ia tidaklah mendatangkan masalah kerana bahagian bingkai lain yang lebih kecil sudah mampu memberikan tontonan yang imersif.

Pertahanan Skrin yang lebih baik

Dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass Victus+, permukaan skrinnya sepatutnya lebih tahan lasak dari kesan calar dan jatuhan berbanding Gorilla Glass 5 yang digunakan pada modelnya terdahulu. Cuma bahagian belakangnya tidak dinyatakan sama ada mempunyai perlindungan yang sama atau tidak. Jadi, lebih baik anda menggunakan apa-apa perlindungan seperti casing untuknya.

Telefon pintar ini juga didatangkan dengan pengimbas cap jari terbina dalam paparan. Bagaimanapun, ia tidaklah begitu pantas seperti yang terdapat pada sesetengah telefon pintar lain kerana masa yang diambil untuk mengecam cap jari agak lama. Namun setidaknya ia dapat membacanya dengan tepat tanpa masalah.

Selain imbasan cap jari terbina bawah paparan, Galaxy A55 juga menyediakan fungsi pengecaman wajah. Jika anda menghidupkan fungsi “lift to wake” dan mematikan fungsi “swipe to unlock”, anda dapat menyahkunci telefon pintar dengan secara pengecaman wajah dengan lebih pantas.

Kamera

Perkakasan kamera yang terdapat pada Galaxy A55 merupakan jenis yang sama terdapat pada Galaxy A54 5G sebelum ini. Ia terdiri daripada kamera utama lebar 50MP, kamera ultra lebar 12MP dan kamera makro 5MP. Tapi sayangnya, kamera telefoto tidak disediakan pada model telefon pintar ini.

Walaupun kamera utamanya merupakan sensor 50MP, namun imej yang dihasilkannya adalah 12.5MP. Hal ini kerana Galaxy A55 menggunakan teknologi pixel binning yang mewujudkan piksel yang lebih besar dari piksel-piksel kecil. Mod 50MP masih lagi disediakan jika anda benar-benar ingin memanfaatkan sensor kamera utama tersebut. Akan tetapi anda perlukan keadaan pencahayaan yang baik untuk menghasilkan imej yang elok.

Anda juga boleh merekodkan video beresolusi 4K pada 30fps atau 1080p pada 60fps. Apa yang bagusnya, kualiti imej yang dihasilkannya kelihatan mantap dari kamera utama dengan penstabilan gerakan yang baik. Perubahan dari lensa utama kepada lensa ultra lebar juga boleh dilakukan ketika rakaman 4K 30 fps, cuma transisi antara kedua-dua lensa tersebut tidaklah begitu lancar. Sekurang-kurangnya, ia boleh dilakukan jika diperlukan.

This slideshow requires JavaScript.

Penghasilan semula warna dari imej juga kelihatan tidak terlalu tumpat seperti generasi-generasi sebelumnya. Pertuakran antara lensa utama 50MP dengan lensa ultra lebar 12MP juga dilihat tidak begitu memberikan kesan pada kontras dan warnanya, menjadikan imej kelihatan konsisten tanpa mengira lensa mana yang anda pilih.

Kami menjangkakan kamera utama Galaxy A55 akan menawarkan lebih perincian mengambil kira harga ia dijual. Namun, ia kelihatan setara dengan Galaxy A35. Kamera ultra lebar pula bagaimanapun kelihatan agak baik bagi sesebuah telefon pintar yang setara dengannya melalui penghasilan imej yang baik.

Keupayaan melakukan zum pada Galaxy A55 ini hanya terhad pada zum digital memandangkan ia tidak mempunyai kamera telefoto. Paling elok pun pada saya zum setakat 2x sahaja, lebih daripada itu misalnya 5x atau 10x memang kualitinya amat rendah. Mungkin jika berkeperluan, anda boleh menangkap gambar dalam mod 50MP dan kemudian memangkas (crop) pada bahagian yang anda ingin zum kan tersebut.

Prestasi

Galaxy A55 menggunakan pemprosesan baharu Exynos 1480 yang dibina menggunakan proses pembuatan 4nm. Berkesinambungan dari Exynos 1380 yang digunakan pada Galaxy A54 5G, pemprosesan ini menawarkan peningkatan prestasi dari segenap segi, dan juga peningkatan kecekapan tenaga.

Permainan-permainan mudah alih seperti Mobile Legends dapat dimainkan dengan lancar tanpa sebarang isu pemanasan atau tersangkut-sangkut. Untuk permainan tersebut, tetapan grafiknya ditetapkan kepada medium dengan kadar bingkai 60fps secara lalai.

Jika anda memilih ke tetapan yang lebih tinggi, permainan tersebut akan mengeluarkan peringatan yang memaklumkan peranti berkenaan mungkin akan menjadi terlalu panas dan mungkin permainan tersebut akan terpadam sendiri.

Selain permainan, penggunaan Galaxy A55 dapat dikendalikan dengan lancar melalui antaramukanya dan juga ketika melayari media sosial dan laman-laman web. Faktor ini juga disumbangkan oleh pertambahan kapasiti RAM yang disediakannya dari 8GB kepada 12GB untuk model tahun ini.

Storannya pula masih lagi menggunakan jenis UFS 3.1 yang ketinggalan satu generasi berbanding UFS 4.0 yang lebih terkini. Kapasiti storannya untuk pasaran Malaysia ditawarkan dengan pilihan 256GB sahaja. Memadai bagi kegunaan harian dan jika tidak mencukupi, anda boleh memanfaatkan slot kad mikroSD yang boleh menyokong sehingga 1TB.

Perisian

Melalui antaramuka One UI 6.1 berasaskan Android 14, Galaxy A55 mempunyai jaminan kemaskini perisian selama empat tahun dan lima tahun untuk kemaskini keselamatan. Sayangnya, kemaskini keselamatan selama tujuh tahun seperti yang diterima oleh Galaxy S24 tidak ditawarkan kepada siri Galaxy A.

One UI 6.1 menawarkan kepenggunaan yang kemas dan mesra pengguna. Ciri-ciri seperti widget skrin berkunci memberikan kemudahan akses kepada maklumat segera yang dipertingkatkan dengan paparan sentiasan terpasang (always-on display). Selain itu, anda juga boleh mengubah tata rias dalamannya dengan palet warna yang dipadankan dengan gambar latar untuk sentuhan yang lebih diperibadikan.

Samsung Knox pada Galaxy A55

Seperkara lagi yang wajar diketengahkan pada Galaxy A55 adalah pada ciri keselamatan yang terbina di dalamnya melalui apa yang dinamakan sebagai Samsung Knox. Ia merupakan kaedah penyelesaian keselamatan oleh Samsung yang menawarkan perlindungan masa nyata untuk data anda seperti:

  • Menyekat aplikasi yang tidak diketahui dari mengakses secara tidak sah pada telefon pintar anda.
  • Menandakan nombor telefon yang tidak diketahui yang mempunyai risiko panggilan ‘scam’ atau penipuan
  • Menyediakan enkripsi hujung-ke-hujung untuk storan data di Samsung Cloud

Secara asasnya, ia menyediakan perlindungan dari ancaman penggodam terhadap peranti. Ia termasuk mencegah cubaan mendapatkan akses ke data peribadi seperti mesej, dokumen, penjejakan lokasi, curi kata laluan dan log masuk serta kawalan jarak jauh peranti anda. Justeru, ia mampu menjadi perlindungan tambahan dari anasir-anasir jahat di alam siber.

Bateri

Kapasiti bateri masih lagi kekal 5,000mAh, namun berdasarkan prestasi kecekapan tenaga yang ditawarkan oleh Exynos 1480, baterinya mampu digunakan dalam tempoh yang lebih panjang lagi.

Berdasarkan penggunaan saya, Galaxy A55 mampu bertahan sekitar 6-7 jam melibatkan aktiviti permainan, penstriman video dan media sosial secara berterusan. Ia lebih panjang tempohnya sekitar 30 hingga 60 minit berbanding model terdahulu sebelumnya.

Kelajuan pengecasan lebih kurang sama seperti tahun lepas kerana sokongan yang ditawarkannya masih lagi 25W dengan dalam tempoh masa 30 minit, ia boleh dicaskan sehingga kira-kira 55%.

Kesimpulan

Galaxy A55 menggunakan pemprosesan okta-teras yang telah dipertingkatkan dan mampu mengendalikan permainan, fungsi berbilang tugasan, dan penstriman dengan lancar. Rekaannya yang diperbaharui dengan menggunakan bahan baharu seperti kerangka aluminium dan bahagian bonggol pada butang sisinya menjadikan ia kelihatan lebih premium.

Kelebihan dan Kekurangan

KelebihanKekurangan
Fotografi yang lebih baik termasuk di dalam keadaan kurang pencahayaan.Ciri yang ditawarkannya dilihat agak asas dan mungkin tidak sesuai bagi pengguna yang inginkan lebih banyak kefungsian.
Mempunyai sokongan keselamatan Samsung Knox yang terbina dalam.

Harga Samsung Galaxy A55 di Malaysia

Galaxy A55 dijual pada harga RM1,999 di Malaysia dengan menawarkan pilihan warna Awesome IceBlue, Awesome Lilac dan Awesome Navy.

  • Samsung Galaxy A55; RAM 12GB, storan 256GB – RM1,999

Sehingga 30 April ini, pembelian Galaxy A55 turut didatangkan bersama-sama promosi Samsung Care+ untuk 2 tahun secara percuma yang mencakupi kerosakan kemalangan dan cecair selama dua tahun dan setahun waranti lanjutan dengan perkhidmatan sokongan peranti. Anda juga boleh menikmati Pembelian dengan Pembelian (PWP) sehingga 30% untuk aksesori Samsung terpilih seperti jam tangan Galaxy Fit3.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.