Sam Altman, salah seorang pengasas bersama syarikat kecerdasan buatan (AI) terulung OpenAI telah meninggalkan syarikat yang ditubuhkannya. Beliau dipecat dari jawatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terbabit.
Berita pemberhentian Altman dari jawatan beliau dimaklumkan secara mengejut menerusi laman web rasmi OpenAI. Kenyataan rasmi berkenaan turut menyatakan keputusan tersebut telah dicapai secara sebulat suara oleh badan ahli lembaga pengarah.
Kebanyakan pihak terkejut dengan keputusan tersebut kerana ramai tidak menyangka beliau akan dipecat dengan pekerja-pekerja syarikat hanya mengetahui pemecatan selepas berita mengenainya diumumkan.
i loved my time at openai. it was transformative for me personally, and hopefully the world a little bit. most of all i loved working with such talented people.
will have more to say about what’s next later.
🫡
— Sam Altman (@sama) November 17, 2023
“Penamatan perkhidmatan Encik Altman dilaksanakan selepas penelitian proses ulasan oleh lembaga pengurusan yang mendapati beliau tidak begitu berterus-terang dalam urusan dengan lembaga dan seterusnya menyukarkan kebertanggungjawaban beliau. Pihak lembaga tidak lagi mempunyai keyakinan dalam keupayaan beliau menerajui OpenAi,”
Bukan Altman sahaja yang ditamatkan perkhidmatan. Rakan kongsi dan pengasas bersamanya, Greg Brockman juga meletakkan jawatan. Sungguhpun beliau diminta untuk terus kekal dalam jawatan, Brockman menyatakan beliau telah membuat keputusan berdasarkan perkembangan semasa.
Pemecatan ini sememangnya amat mengejutkan mengambil kira peranan kedua-dua individu terbabit dalam membawa perubahan besar di dalam teknologi AI menerusi OpenAI. Kekosongan jawatan yang ditinggalkan selepas pemecatan tersebut kini disandang oleh CTO Mira Murati yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Interim sementara mencari calon yang sesuai bagi jawatan tersebut.