Utama Android Honor Ulasan HONOR X9b 5G; Telefon Pintar Kental lagi Lasak

Ulasan HONOR X9b 5G; Telefon Pintar Kental lagi Lasak

44
0

HONOR X9b 5G telah pun dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia sebagai telefon pintar yang memfokuskan pada ciri tahan lasak baharu keluaran HONOR. Ia hadir tidak sampai setahun selepas X9a diperkenalkan.

Masih lagi kekal dengan spesifikasi peringkat menengah, kesinambungan daripada siri berkenaan membawakan sedikit penambahbaikan dari segi dalamannya. Pun begitu, spesifikasinya ini dilihat amat berbaloi berbanding pesaingnya terutama dari segi ketahanan dan kelasakannya untuk dijadikan telefon pintar jangka masa panjang.

Pengguna yang agak cemerkap dalam mengendalikan peranti atau sentiasa berada di dalam situasi lasak dan kasar seperti bekerja di dalam sektor perladangan, pembinaan mahupun perlombongan, telefon pintar ini amat sesuai untuk anda.

Spesifikasi HONOR X9b 5G

Paparan 6.78″ 2652×1200 AMOLED dengan kadar penyegaran semula 120Hz
Pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 (4×2.2GHz A78 + 4×1.8GHz A55)
GPU Adreno 710
RAM 12GB
Storan 256GB
Camera (Rear) 108MP, f/1.75, 1/1.67″, 5MP, f/2.2, (ultra-lebar), 2MP, f/2.4 (makro)
Camera (Front) 16MP
Audio Pembesar suara tunggal
Bateri 5,800mAh dengan pengecasan berwayar 35W
Ukuran 163.6 x 75.5×7.98mm
Berat 185g
OS MagicOS 7.2 berasaskan Android 13
Ketersambungan GSM / HSPA/LTE/ 5G, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.1, NFC, USB Type-C
Warna Orange/Silver/Black
Kad SIM Nano SIM
Harga RM1,499

HONOR X9b 5G menampilkan paparan AMOLED 6.78-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz bersama-sama tahap kecerahan puncak 1,200 nits. Skrinnya ini juga hadir dengan rekaan Ultra Bounce Anti-Drop dengan tiga lapisan yang terdiri daripada perlindungan terbaja titik tunggal, pengkusyenan keliling dan perlindungan kedap dalam.

Cuma agak terkilan sedikit apabila melihat tahap kerintangan air dan debunya hanya IP53 yang mana ia hanya mampu bertahan dalam keadaan sedikit berdebu dan jirusan air dalam tempoh singkat. Atas sebab itu anda tidak boleh menganggapnya sebagai peranti kalis air dan membawanya untuk menyelam atau berenang seperti peranti dengan penarafan IP67.

Di dalamnya, telefon pintar ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Dari segi ketersambungannya ia hanya menyokong Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.1, namun masih menyediakan sokongan 5G dan NFC.

Fotografinya pula untuk kamera utama menawarkan bilangan megapiksel dua kali ganda dengan sensor 108MP bersama-sama kamera ultra-lebar 5MP dan makro 2MP. Kapasiti baterinya sebesar 5,800mAh pastinya lebih besar berbanding modelnya yang terdahulu. Cuma kelajuan pengecasannya lebih rendah pada 35W.

Rekabentuk

Dari segi rekaannya, telefon pintar ini kelihatan hampir sama dengan modelnya yang terdahulu. Kedua-dua bucunya melengkung pada bahagian hadapan dan belakangnya yang memberikan genggaman yang lebih kemas. Permukaan belakangnya yang kelihatan seperti berkaca mempunyai kemasan matte bagi mengurangkan kesan cap jari.

Ia juga mempunyai bahagian gegelung yang menempatkan ketiga-tiga buah kameranya bersmaa-sama lampu flash. Bezanya bahagian bingkai gegelung berkenaan mempunyai bucu yang bergerigi. Bahagian ini juga agak besar dan membantu mengurangkan ia dari bergoyang apabila digunakan di atas meja.

Skrin baharunya juga kini lebih besar dan cerah walaupun tidak begitu ketara perubahannya. Ia jitu, terang dan lancar seperti biasa, namun tidak begitu cemerlang jika digunakan di tempat yang terang seperti berada di luar dalam keadaan cuaca cerah.

Sokongan imbasan cap jari bawah skrin disediakan untuk telefon pintar ini, namun ia tidak begitu pantas untuk menyahkunci dan anda mungkin boleh memilih kaedah mengunci skrin selain dari imbasan cap jari jika inginkan kepantasan.

Pada bucunya yang melengkung disediakan butang kawalan audio dan butang kuwasa yang diletakkan pada sebelah kanan. Di bahagian bawahnya pula disediakan sebuah pembesar suara.

Penggunaan saya dalam tempoh beberapa minggu ini didapati ia sememangnya tahan lasak apabila jatuh sama ada secara sengaja atau tidak sengaja berulang kali di pelbagai permukaan pada ketinggian lebih kurang aras bahu. Ia sememangnya membuktikan kelasakannya selain tidak menghasilkan kesan calar. Pun begitu, anda perlu mengamalkan sikap berhati-hati ketika mengendalikan apa jua peranti.

Prestasi dan Bateri

HONOR X9b merupakan telefon pintar pertama yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 6 Gen 1 di pasaran Malaysia. Pemprosesan yang dilancarkan pada tahun lepas ini secara keseluruhannya masih mampu memberikan prestasi yang memuaskan sesuai dengan tarafnya selaku pemprosesan peringkat menengah.

Cuma ada dalam beberapa keadaan seperti ketika mengendalikan fotografi menggunakan telefon pintar ini. Sungguhpun tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan menggunakannya, ada beberapa ketika ia mengambil sedikit masa apabila anda ingin menukar mod fotografi dari kamera utama kepada kamera ultra-lebar.

Tidak dapat dipastikan apakah masalah ini berpunca daripada perisiannya atau kuasa pemprosesannya yang tidak mampu menampung keperluannya. Mungkin kemaskini yang akan datang dapat menyelesaikan sebahgian daripada isu ini.

Paduan antara kapasiti bateri yang lebih besar dengan pemprosesan yang kecil keperluan tenaganya menjadikan tempoh penggunaan bateri HONOR X9b 5G ini agak panjang. Penggunaan yang agak berat seperti permainan mudah alih seperti Roblox mampu bertahan dari pagi sehingga malam untuk sekali cas.

Bagi penggunaan yang ringan seperti sekadar melayari laman web atau media sosial pula ia mampu bertahan sehingga hampir tiga hari. Tambahan pula, sokongan pengecasan 35W melalui pengecas yang disediakan bersama-sama dengannya juga amat membantu dan menjadikan telefon HONOR X9b 5G amat sesuai dijadikan teman perjalanan jarak jauh anda.

Kamera

Kekuatan utama HONOR X9b 5G bukanlah terletak pada kameranya walaupun bilangan megapiksel untuk kamera utamanya agak tinggi.

Warna yang dihasilkan olehnya dalam kebanyakan masa kelihatan agak suram dengan kurang julat dinamiknya. Gambar yang dihasilkan untuk fotografi dalam bangunan kelihatan sedikit kekuningan. Kawasan fokusnya juga agak kecil menjadikan bucu gambar rapat kelihatan sedikit kabur dan kembang.

Sedikit kekurangannya tersebut bagaimanapun tidak menghalang HONOR X9b 5G menghasilkan gambar yang memuaskan dan kadangkala boleh jadi baik jika kena pada pencahayaannya melalui kamera utamanya.

Untuk kamera ultra-lebar 5MP yang ada padanya pula bagaimanapun agak mengecewakan kerana berlaku senggukan (lag) apabila menggunakannya. Kualiti untuk foto dan videon untuk kamera ultra-lebar berkenaan juga kurang memuaskan pada pandangan saya.

Contoh foto yang diambil menggunakan HONOR X9b 5G

 

Kesimpulan

HONOR X9b 5G secara keseluruhan merupakan antara telefon pintar paling kental dan tahan lasak yang ada di pasaran pada ketika ini selain dari X9a 5G. Ciri kelasakannya ini menjadi lebih unik lagi kerana faktor saiznya yang nipis berbanding telefon pintar bersifat lasak lain yang besar gedabak saiznya ibarat membawa batu-bata di dalam poket seluar.

Saiznya yang sama seperti telefon pintar lain memudahkan ia dibawa ke mana-mana untuk pelbagai aktiviti lasak dan pekerjaan berat lain tanpa bimbang ia rosak akibat terjatuh.

Pada harga jualan RM1,499, HONOR X9b 5G menawarkan sejumlah ciri-ciri menarik terutama dari segi kelasakan dan ketahanan fizikalnya. Telefon pintar ini boleh diibaratkan seperti sebuah kereta kebal dan mungkin hampir menyamai kelasakan fizikal telefon mudah alih ‘lejen’ Nokia 3310.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.