Utama Mobile Aplikasi Russia akan menggantikan Google Play Store dengan gedung keluarannya sendiri, NashStore

Russia akan menggantikan Google Play Store dengan gedung keluarannya sendiri, NashStore

1150
0

Russia berdepan dengan sekatan perdagangan ekonomi secara fizikal dan digital apabila semakin banyak syarikat teknologi dan kewangan mula meninggalkan negara tersebut.

Bagi mendepani situasi terkini, sebuah organisasi yang dikenali sebagai Digital Platforms telah mengumumkan pelancaran gedung aplikasi terbaru. Dikenali sebagai NashStore, gedung berkenaan akan dilancarkan pada 9 Mei ini bersempena Hari Kejayaan Russia (Victory Day).

Gedung berkenaan yang membawa maksud sebagai “Kedai Kita” ini dikatakan bertujuan menggantikan fungsi Google Play Store.

Ini kerana, pengguna di Russia tidak lagi dibenarkan untuk membayar sebarang aplikasi, langganan mahupun pembelian dalam talian. Perkembangan ini merupakan lanjutan dari penarikan keluar Visa, Mastercard dan PayPal.

Menurut Pengarah Projek Digital Platforms Vladimir Zykov, sekatan penggunaan Google Play ini mengakibatkan pembangun dari Russia hilang sumber pendapatan dari gedung tersebut. Oleh itu, penggunaan NashStore melalui peranti Android ini mampu mengatasi masalah tersebut kerana boleh digunakan bersama-sama kad bank Russia, Mir.

Selain dari gedung aplikasi baharu, pembangun dari Russia juga sedang merancang untuk membangunkan alternatif kepada Instagram yang dikenali sebagai Rossgram. Russia pada ketika ini telah mengharamkan penggunaan Facebook dan Twitter sebagai tindak balas sekatan yang dikenakan terhadap media kerajaan negara tersebut.

Sejumlah syarikat teknologi dan kewangan dari seluruh dunia mula mengambil tindakan drastik terhadap pengoperasian masing-masing di Russia sebagai memberikan tekanan untuk segera menghentikan segala tindakan ketenteraan Russia di Ukraine.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.