Home Komputer Berapa banyak Ruang Storan Kosong yang perlu Disediakan untuk PC Windows?

Berapa banyak Ruang Storan Kosong yang perlu Disediakan untuk PC Windows?

852
1

Membiarkan ruang storan pemacu untuk sistem Windows sampai penuh bukanlah satu tindakan yang bagus. Ia mampu menimbulkan pelbagai masalah buat pengguna PC Windows berkenaan. Cuma, apa yang kita sering tidak tahu adalah, berapa banyak ruang kosong yang perlu disediakan untuk sistem operasi Windows?

Ada banyak sebab kenapa kita perlu sediakan ruang kosong pada storan pemacu utama kita. Jika ruang pemacu anda sudah hampir penuh, banyak perkara penting yang tidak dapat dilakukan. Misalnya, anda mungkin tidak boleh menyimpan (save) fail-fail baru di dalamnya dan juga tidak boleh untuk memuat turun termasuklah Windows Update.

Program-program juga perlu menghasilkan fail-fail cache dan jika ia gagal untuk mengasilkannya, berkemungkinan besar program berkenaan akan tergendala. Jika anda membuka terlalu banyak program, memori tambahan akan diperlukan, serta paging file Windows turut berkembang dan apabila tiada lagi ruang untuk memori tambahan dan juga ruangan untuk berkembang sudah tiada, sesebuah program itu mungkin tidak boleh dibuka.

Antara program yang terkesan dari keadaan pemacu storan sistem Windows ini adalah program Troubleshooter. Program ini tidak boleh dijalankan jika storan pemacu utama sudah penuh dan satu notis akan tertera, “A problem is preventing the troubleshooter from starting” tanpa penjelasan lebih terperinci disediakan berkenaan keadaan ini. Program berkenaan hanya boleh dibuka semula apabila ruang-ruang storan pemacu sistem lebih banyak dikosongkan.

Bagaimanapun, tiada kata putus berkenaan berapa banyak jumlah ruang storan kosong yang perlu dikosongkan pada sesebuah pemacu storan sistem Windows. Pihak Microsoft sendiri pun tidak menyatakannya secara spesifik.

Di dalam internet, terdapat pelbagai pendapat yang mengijtima’kan berapa banyak ruang kosong pada pemacu yang perlu disediakan. Pun begitu, pendapat-pendapat berkenaan tidak semestinya perlu diikuti memandangkan ianya hanyalah perkara khilaf dikalangan para pakar-pakar IT.

15 peratus pengosongan ruang bagi Hard Disk Mekanikal

Antara pendapat yang sering disarankan kepada pengguna-pengguna PC Windows adalah pengguna perlu menyediakan ruang kosong pada pemacu sekitar 15 hingga 20 peratus. Hal ini kerana pada kebiasaannya Windows memerlukan ruang kosong pada pemacu sekurang-kurangnya 15% untuk melakukan defragmentation.

Ikon dibuat oleh [mynamepong] dari www.flaticon.com
Jika ruang kosong 15% berkenaan tidak dapat disediakan, Windows tidak dapat melakukan defrag pada pemacu berkenaan dengan sempurna. Hanya sebahagian sahaja yang boleh dibuat defragment dan lama kelamaan bit-bit berserpih (fragmented) di dalam pemacu berkenaan akan bertimbun.

Bagaimanapun, ini hanya berlaku pada hard disk mekanikal dan bukannya pada hard disk SSD yang sering digunakan pada komputer-komputer yang lebih terkini.

25 peratus pengosongan ruang pada SSD (Terlalu Konservatif pada pandangan sesetengah pihak)

Hard disk SSD secara tradisinya memerlukan peruntukan ruang kosong yang agak besar untuk Windows. Prestasinya lama-kelamaan akan menjadi perlahan apabila ia menjadi semakin penuh. Pada tahun 2012, portal teknologi Anandtech menyarankan ruang kosong sebanyak 25 peratus perlu ditinggalkan untuk mengelakkan kemerosotan prestasi berdasarkan pengujian yang telah dilakukan.

Pun begitu, hard disk SSD yang ada di pasaran hari ini adalah “overprovisioned”, bermaksud ia sebenarnya mengandungi lebih memori dari apa yang dipaparkan kepada pengguna. Oleh itu, jika hard disk SSD sudah kelihatan hampir penuh sekalipun, ia sepatutnya mempunyai memori simpanan yang disediakan untuk mengawal selia prestasinya.

Kesimpulannya: Bergantung pada jenis Hard Disk

Tiada sebarang peratusan yang ditetapkan untuk kesemua jenis PC Windows. Apa yang diberitahu oleh pihak Microsoft adalah pengguna perlu menyediakan ruang sekurang-kurangnya 20GB sebelum memasang sistem operasi Windows 10 64-bit.

Apa pun, pengguna perlu menyediakan ruang kosong yang agak besar untuk pemacu sistem operasi Windows agar ia tidak menjejaskan prestasi keseluruhan komputer akibat masalah hard disk penuh.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.