Utama Android Redmi Redmi 13C kini di Malaysia, berharga RM 499

Redmi 13C kini di Malaysia, berharga RM 499

63
0

Sub-jenama Xiaomi telah memperkenalkan model pertama dari siri Redmi 13 yang berkesinambungan dari siri telefon pintar peringkat pemula keluaran tahun lepas. Kali ini Redmi akan memperkenalkan dari model yang paling rendah spesifikasinya, Redmi 13C.

Secara asasnya telefon pintar ini merupakan model POCO C65 yang dijenamakan semula. Ia menampilkan skrin LCD 6.74-inci beresolusi 1600 x 720 piksel, dan kadar penyegaran semula 90Hz. Telefon pintar ini juga menyediakan pengimbas cap jari pada bahagian sisinya, dengan slot kad dwi-SIM + mikroSD, pembesar suara dan bicu audio 3.5mm.

Pemprosesannya pula dilengkapkan dengan MediaTek Helio G85 dan GPU Mali-G52 bersama-sama RAM 6GB dan storan 128GB. Seperti kebanyakan telefon pintar peringkat pemula, Redmi 13C juga didatangkan dengan sokongan pengembangan RAM secara maya sehingga 6GB.

Telefon pintar dengan sistem operasi Android 13 melalui MIUI 14 ini juga menggunakan bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 18W melalui USBC. Turut disediakan sokongan ketersambungan Wi-Fi dwi-jalur dan Bluetooth 5.3.

Paling ketara perbezaan antara Redmi 13C dengan POCO C65 terletak pada rekaan plet belakangnya. Berbeza dengan ‘saudara’nya itu, telefon ini menampilkan ruangan berbentuk segi empat sama yang menempatkan tri-kameranya. Hadir dengan pilihan warna Midnight Black, Navy Blue, Glacier White dan Clover Green, telefon pintar ini mempunyai kamera utama 50MP, serta kamera makro dan berkedalaman 2MP. Pada bahagian takuk berbentuk titisan air pada skrin hadapannya disediakan kamera 8MP.

Redmi 13C kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM499. Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan telefon pintar peringkat pemula baharu ini, anda boleh mendapatkannya di kedai-kedai Xiaomi dan wakil pengedar yang sah di seluruh negara. Anda juga boleh mendapatkan secara dalam talian menerusi kedai rasmi di Shopee dan Lazada.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Xiaomi Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.