OPPO dilihat sedang melakukan persiapan untuk memperkenalkan siri telefon pintar peringkat menengah Reno di pasaran China tidak lama lagi. Didedahkan menerusi untaian hantaran di Weibo, siri Reno 11 dijangka akan diperkenalkan pada minggu hadapan, 23 November 2023.
Seperti yang dijangkakan, OPPO masih lagi belum mendedahkan maklumat sepenuhnya berkenaan siri telefon pintar baharu tersebut dan hanya berkongsikan sedikit mengenai rekaannya. Reno11 berkenaan telah disahkan akan dilancarkan dengan empat pilihan warna iaitu Moonstone, Flourite Blue, Turquoise, dan Obsidian Black.
Telefon pintar berkenaan juga ditunjukkan akan menampilkan bahagian kamera berbentuk bujur pada permukaan belakangnya dengan tiga buah kamera. Terdapat juga kemungkinan siri baharu tersebut akan hadir dengan varian Pro.
Desas-desus spesifikasi OPPO Reno 11
Setakat ini desas-desus mengatakan OPPO Reno11 Pro akan menampilkan skrin melengkung OLED dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan pemalapan PWM 2,160Hz. Pemprosesannya pula dijangkakan akan menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1 dengan RAM LPDDR5X dan storan UFS 3.1 yang tidak dinyatakan kapasitinya. Ia juga dijangka akan menggunakan bateri berkapasiti 4,700mAh dengan sokongan pengecasan pantas melalui USB-C.
Fotografinya mungkin akan menggunakan sensor utama Sony LYT-700 50MP dengan OIS, ultra lebar 8MP, dan telefoto Sony IMX709 32MP dengan keupayaan zum optikal 2x. Selain daripada itu, model Pro juga dikatakan akan didatangkan dengan dwi-pembesar suara, bingkai plastik dan seberat 190g.
Untuk model standard pula, desas-desus sebelum ini menyatakan ia akan hadir dengan paparan rata dengan resolusi yang lebih rendah. Ia juga menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8200 dan bateri berkapasiti 4,800mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W. Ia juga lebih ringan dengan seberat 184g.
Dikatakan, varian ini hadir dengan kamera utama Sony LYT 600 yang lebih rendah dari model Pro. Namun, masih lagi menawarkan kamera yang sama untuk ultra-lebar dan telefoto.
Khabar angin ini bagaimanapun masih lagi menjadi tanda tanya buat peminat yang menantikan siri OPPO Reno keluaran terkini ini. Memandangkan tarikh pelancarannya tidak begitu lama, persoalan tersebut mungkin bakal dijawab pada minggu hadapan.