Ketika Nubia Redmagic 10 Pro diperkenalkan ke pasaran tempatan, model yang mempunyai RAM 12GB dan storan 256GB berkenaan hanya didatangkan dengan satu pilihan warna sahaja. Baru-baru ini, pihak Nubia telah memperkenalkan warna baharu yang dinamakan sebagai LightSpeed. Bagaimanapun, pilihan warna ini hanya ditawarkan sebagai edisi terhad.
Selain dari warna baharu tersebut, spesifikasi Redmagic 10 Pro berkenaan masih lagi sama. Ia mempunyai paparan AMOLED 6.85-inci, beresolusi 2,688 x 1,216 piksel, kadar penyegaran semula 144Hz, dan kecerahan puncak 2,000 nits. Telefon pintar dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite “Extreme Edition” ini juga memiliki bateri berkapasiti 6,500mAh dengan sokongan pengecasan 80W.
Untuk kameranya, Redmagic 10 Pro Edisi Terhad Lightspeed mempunyai tetapan kamera sama yang terdiri kamera utama 50MP, kamera bersudut lebar 50MP, dan kamera kombo makro 2MP. Di hadapannya pula terdapat kamera di bawah paparan 16MP. Telefon pintar ini juga mempunyai pemprosesan khusus permainan Nubia Red Core R3 yang mampu melonjakkan permainan sehingga 120fps pada 2K. Ia juga menawarkan sokongan ketersambungan untuk 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC.
Harga jualannya masih lagi sama dengan edisi biasa iaitu RM3,999 dan anda boleh mendapatkannya pada harga diskaun sebanyak RM800 bermula dari 24 Januari sehingga 27 Januari ini. Redmagic 10 Pro Edisi Terhad Lightspeed boleh didapati menerusi kedai rasmi Nubia dalam talian, Lazada, dan Shopee