Utama Android Samsung Pandang Pertama Samsung Galaxy S25 Ultra; Model Ultra Paling Nipis, Sarat dengan...

Pandang Pertama Samsung Galaxy S25 Ultra; Model Ultra Paling Nipis, Sarat dengan Ciri AI

77
0

Saban tahun, Samsung akan memperkenalkan telefon pintar mercu keluarannya menerusi barisan Galaxy S. Untuk tahun 2025 ini pula, ia dibarisi oleh Galaxy S25, Galaxy S25 Plus dan Galaxy S25 Ultra diperkenalkan pada Januari baru-baru ini.

Antara ketiga-tiga model ini, Ultra paling menonjolkan perubahan dari generasi terdahulu dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) lebih menonjol berbanding naik taraf perkakasannya.

Bucu membulat dengan sisi rata

Perkara pertama yang amat ketara pada pandangan saya adalah keselesaan apabila memegangnya berbanding model-model keluaran sebelum ini. Tahun ini Samsung telah mengurangkan ketebalan dan kelebarannya beberapa milimeter. Beratnya juga kurang dalam beberapa gram menjadikan telefon pintar ini lebih ringan.

Mungkin pada sesetengah pengguna pengurangan ciri ini membuat ciri luaran yang sinonim menjadikannya ‘Ultra’ kelihatan agak kurang pada tahun ini. Pada kebiasaannya model Ultra akan kelihatan berbeza dengan model siri S yang lain kerana ia lebih mirip dengan rekabentuk siri Galaxy Note dahulu.

Amad Zahry sedang menggayakan Galaxy S25 Ultra

Perubahan baharu ini menjadikan rupa dan feel pada model ini lebih mirip dengan model-model telefon pintar Samsung lain. Ia dibezakan pada saiznya yang lebih besar dengan bucunya yang sedikit kurang membulatnya.

Bucu yang membulat ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding bucu yang bersegi seperti pada model S24 Ultra dan yang sebelumnya. Ia lebih selesa untuk dipegang dan mengurangkan ketidakselesaan pada tapak tangan apabila memegang bahagian bucunya.

Lain-lain sifat luarannya sama seperti yang dijangkakan – besar, namun agak nipis. Ia menampilkan permukaan sisi yang rata di sekelilingnya dan dibina daripada kaca dan titanium. Walaupun bucunya lebih membulat dan lebih menipis ketebalannya, ruang penyimpanan khas S Pen masih lagi dikekalkan dan ada di tempat yang sama pada sebelah kanan bawah.

Bercakap mengenai S Pen, berbeza dengan model sebelumnya, ia tidak lagi didatangkan dengan sokongan Bluetooth. Beberapa ciri-ciri unik model Ultra dengan S Pen seperti alat kawalan jauh untuk fotografi tidak boleh digunakan di dalam model kali ini.

Ciri ini walaupun canggih, ia bukanlah untuk kegunaan harian seperti mengambil gambar beramai-ramai seperti bergambar sekeluarga di majlis kenduri.

Ketiadaan sokongan sambungan Bluetooth pada S Pen tidak menjejaskan aspek penggunaan pena stylus ini. Anda masih boleh menulis nota, melukis atau apa juga aktiviti lain yang tidak perlu pun ada sambungan Bluetooth.

Ketahanannya pula menurut Samsung lebih tahan calar dan hentakan berbanding model terdahulu hasil daripada penggunaan Gorilla Glass Armour yang dinaiktaraf. Sama seperti sebelum ini, ciri ini hanya eksklusif untuk Ultra sahaja bersama-sama lapisan anti-pantulan khas yang membolehkan paparannya mudah dilihat dalam apa jua keadaan.

Seperti biasa, Galaxy S25 Ultra juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68 untuk membolehkannya lebih tahan lasak dalam keadaan berisiko kerosakan yang diakibatkan debu dan air.

Paparan, Kamera dan Aksi!

Melihat pada helaian spesifikasi perkakasannya, S25 Ultra tidak memberikan banyak kejutan. Kebanyakannya lebih ditumpukan pada ciri-ciri berkaitan perisian dan juga AI. Namun, masih memberikan impak yang padu kepada peminat siri ini.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, paparannya lebih besar dengan skrin 6.9-inci bersama-sama bezel yang lebih nipis dan kaca anti-pantulan. Ia menjadikan paparannya lebih menarik dan lebih jelas pada pandangan kita walaupun berada di tempat yang banyak sumber cahaya yang menyilaukan.

Resolusi QuadHD+ juga disediakan untuk anda menikmati kualiti paparan tertinggi yang ditawarkan pada telefon pintar ini. Secara lalai, resolusi paparan S25 Ultra ditetapkan pada FullHD+ sahaja bagi tujuan penjimatan penggunaan tenaga bateri.

Ia bukanlah sekadar peningkatan pada piksel semata-mata. Paparannya ini juga mampu mencapai kadar penyegaran semula sehingga 120Hz dan boleh diturunkan ke serendah 1Hz secara adaptif. Perubahan dinamik ini dilakukan tanpa menjejaskan pengalaman pengguna disamping mengutamakan matlamat penjimatan baterinya.

Telefon pintar ini juga mampu mencapai kecerahan sehingga 2600 nits dan mempunyai perisian ProScaler bagi meningkatkan ketajaman pada kandungan 720p atau beresolusi rendah.

Di dalamnya terdapat pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy baharu. Pemprosesan ini khusus dibangunkan secara bersama-sama dengan Samsung untuk dioptimasikan pada telefon-telefon Galaxy. Menurut Samsung, Galaxy S25 Ultra mempunyai kebuk pengewapan yang lebih besar dan berkesan bagi meningkatkan prestasi CPU, GPU dan NPU dengan mengurangkan suhu pemprosesannya.

Malah, fungsi fotografi dan videografinya juga amat tuntas dan hampir sifar lag. Kebanyakan penambahbaikan pada kameranya lebih disumbangkan pada kuasa pemprosesannya, kerana hampir kesemua perkakasan fotografinya masih lagi sama seperti generasi sebelum ini kecuali pada kamera ultra-lebar 50MP baharunya.

Lain-lain seperti kamera utama 200MP, kamera telefoto 50MP dengan lensa zum 5x dan kamera 10MP dengan zum 3x masih lagi sama.

Samsung turut melancarkan rakaman video Galaxy Log/10bit yang memberikan para videografer lebih kawalan pada bahan visual. Ia juga menyediakan lebih banyak pilihan pembetulan dan pengredan warna di dalam suntingan.

Kapasiti baterinya juga seperti biasa merupakan yang paling besar di dalam siri ini dengan 5,000mAh dan sokongan pengecasan pantas 45W.

Perisian dan Kecerdasan

Telefon pintar baharu keluaran Samsung ini dilancarkan bersama-sama antaramuka One UI baharu yang berasaskan Android 15. Ini bermakna, ia sarat dengan ciri-ciri dan sokongan berasaskan kecerdasan buatan (AI). Bukan itu sahaja, ia sememangnya sudah terbina dalam dan menjadi sebahagian daripada pengalaman kepenggunaannya.

Ia tersedia dan berintegrasi dengan aplikasi-aplikasi utama seperti Calendar, Messages, Weather, Samsung Health dan aplikasi pihak pertama lain yang boleh diperibadikan untuk anda.

Terdapat ciri yang dinamakan sebagai ‘Now Briefings’ yang memberikan gambaran ringkas apa yang perlu anda lakukan atau apa yang anda sudah lakukan.

Ia boleh digunakan untuk menyemak jadual, cuaca, aktiviti harian, selain turut memaklumkan perkara-perkara penting yang perlu dilakukan nanti dan juga apa yang telah diselesaikan pada sesuatu hari tersebut.

Menggunakan model bahasa alamiah, anda boleh bercakap dengan AI dan meminta untuk perkara yang agak terperinci. Misalnya, anda boleh memintanya menunjukkan kesemua foto-foto yang telah anda ambil pada masa tertentu dan di lokasi tertentu. Anda juga boleh memintanya mendapatkan jadual perlawanan pasukan bola sepak kegemaran anda memasukkannya ke dalam kalendar.

Samsung juga menyatakan ciri ini boleh dipautkan pada Galaxy Watch dan televisyen, dan boleh mengesan jika anda tertidur di hadapan TV. Ia boleh menjedakan (pause) kandungan yang ditayangkan atau mematikan TV untuk anda ketika anda tertidur. Cuma tinggal dia belum boleh nak tolong selimutkan korang je lagi masa tertidur tu.

Lain-lain ciri AI yang disediakan termausklah bantuan melukis yang sempat saya cuba. Ia boleh mengubahkan lakaran kasar anda kepada bentuk lukisan catan, kartun, dan gaya lukisan lain lengkap dengan warna.

Anda juga boleh menaipkan arahan berteks dan memintanya melukiskan sesuatu. Apa yang saya dapati, arahan yang diberikan perlu jelas konteksnya dan elakkan dari memberikan input yang agak samar-samar.

Sokongan perisian terus menjadi kelebihan utama untuk pengguna-pengguna Galaxy. Samsung menjanjikan S25 Ultra menerima kemaskini sistem operasi sehingga ke 7 generasi. Ini bermakna, Galaxy S25 Ultra boleh digunakan sehingga Android 22 bersama-sama kemaskini keselamatan selama 7 tahun.

Kesimpulan

Walaupun rekabentuk luaran Galaxy S25 Ultra kelihatan agak dramatik perubahannya berbanding model-model sebelumnya, perkakasan di dalamnya pula tidak banyak berubah. Pengguna yang sedang memiliki S24 Ultra atau S23 Ultra mungkin ada yang berpandangan kualiti terbaik perkakasan pada model baharu ini tidak jauh bezanya.

Melainkan anda amat meminati dengan kelebihan ciri-ciri AI baharu yang ditawarkan oleh Galaxy S25 Ultra atau anda masih belum pernah menggunakan telefon pintar siri Galaxy S Ultra, model ini wajar anda pertimbangkan.

Layari laman web rasmi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.