WhatsApp sedang di dalam usaha untuk memperkenalkan ciri baharu berbilang akaun, menurut laporan daripada WABetaInfo. Ditawarkan pertama kali kepada penguji beta Android, versi 25.2.10.70 yang baharu diterbitkan tersebut akan membolehkan pengguna melog masuk pelbagai akaun di dalam aplikasi yang sama tanpa perlu menggunakan peranti yang lain seperti kebiasaan sebelum ini.
Tangkapan layar dari kemaskini beta berkenaan menunjukkan ciri terssebut di dalam tetapan aplikasi yang membenarkan pengguna menambah dan menguruskan sebilangan akaun di dalam satu tempat. Penambahan ini memudahkan pengguna yang mempunyai banyak nombor telefon terutamanya yang menggunakan peranti yang menyokong dwi-SIM. Ia juga memudahkan pengguna yang perlu menggunakan WhatsApp dan WhatsApp Bussiness untuk menguruskan banyak nombor WhatsApp.
Ciri berbilang akaun baharu ini menawarkan dua pilihan untuk menambah akaun. Ia boleh dilakukan dengan membuat tetapan pada akaun utama baharu atau memautkan pada akaun sedia ada melalui kod QR. Dua kaedah bagi menampung keperluan pelbagai keadaan pengguna sama ada baru bermula atau beralih ke akaun sedia ada ke dalam aplikasi berkenaan.
Sebaik ditambahkan, setiap akaun akan dijalankan secara berasingan, dengan notifikasi, sejarah borak, sandaran dan tetapan masing-masing. Bagaimanapun, aplikasi tersebut perlu dimulakan semula (restart) selepas bertukar ke akaun lain, berdasarkan tangkapan layar yang dikongsikan.
Sama seperti binaan beta lain yang diketemukan, sokongan berbilang akaun ini masih lagi di dalam peringkat pembangunan. Tiada maklumat lanjut mengenai tarikh ketersediaannya untuk Android mahupun iOS. Dijangkakan, ia mungkin akan disediakan kepada pengguna umum dalam tempoh selewat-lewatnya dalam beberapa bulan lagi.