Bulan lepas, Realme telah melancarkan Narzo 30 Pro dan 30A untuk pasaran India. Kini, Realme telah membawakan Realme 30A ke pasaran tempatan.
Realme 30A membawakan paparan HD+ 6.5-inci bersama-sama cipset MediaTek Helio G85, RAM 4GB dan storan 64GB. Tumpuan utama pada telefon pintar pastinya pada kapasiti baterinya yang besar iaitu 6,000mAh yang menyokong kuasa pengecasan sehingga 18W.
Melaluinya, telefon ini mampu memberikan waktu bersedia selama 46 jam dan waktu panggilan sehingga 52 jam. Untuk hiburan pula, ianya mampu memainkan muzik penstriman pada Spotify sehingga 114 jam, 27 jam untuk penstriman video melalui YouTube dan 10 jam untuk permainan mudah alih.
Untuk kameranya pula, Realme Narzo 30A didatangkan dengan sebuah kamera swafoto 8MP pada sebelah hadapannya. Di belakangnya pula menempatkan dwi-kamera dengan 13MP sebagai kamera utamanya.
Realme Narzo 30A akan mula dijual di Malaysia bermula 4 April dan boleh didapati menerusi Shopee. Bersempena hari pertama jualannya di Malaysia, pembelian menerusi Shopee pada 4 April nanti bakal menerima potongan harga sebanyak RM100.