Kabel Dasar Laut Echo Bifrost

Facebook telah mengumumkan rancangannya untuk membina dua kabel dasar laut baharu menghubungkan Singapura, Indonesia dan Amerika Utara. Syarikat media sosial ini juga akan bekerjasama dengan Google dan syarikat telekomunikasi tempatan berkenaan projek ini.

Dua projek pemasangan kabel berkenaan dinamakan sebagai Echo dan Bifrost, dan salah satunya Echo dijadual akan dapat disiapkan pada 2023. Tujuan projek diwujudkan adalah bagi meningkatkan kelajuan capaian internet antara kedua-dua rantau.

Menurut Reuters, projek pembinaan ini akan melibatkan usahasama antara Google dan syarikat telekomunikasi Indonesia, XL Axiata. Sebuah lagi kabel dasar laut trans-pasifik, Bifrost disasarkan akan dapat disiapkan pada 2024.

Manakala Facebook pula bekerjasama dengan Telin, subsidiari Telkom Indonesia dan Keppel dari Singapura untuk menjayakan projek ini. Kerja-kerja pemasangan ini akan dilaksanakan oleh Alcatel Submarine Networks.

Ini bukan kali pertama Google dan Facebook bekerjasama membina sistem kabel dasar laut. Sebelum ini kedua-dua syarikat pernah membina Pacific Light Cable Network pada 2016 yang pada asalnya bertujuan menghubungkan Filipina, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat. Sambungan ke Hong Kong dibatalkan kemudiannya selepas mendapat tentangan dari kerajaan Amerika Syarikat atas sebab-sebab keselamatan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.