Utama Teknologi realme 9 dan realme Pad Mini dilancarkan di Malaysia; Masing-masing berharga dari...

realme 9 dan realme Pad Mini dilancarkan di Malaysia; Masing-masing berharga dari RM899 dan RM699

802
0

realme pada hari ini secara rasminya telah melancarkan dua produk terbarunya di Malaysia, telefon pintar peringkat menengah realme 9 dan tablet realme Pad Mini. Kedua-dua peranti ini telah pun diumumkan akan hadir sejak dari minggu lepas.

Untuk telefon pintar realme 9, ia menampilkan paparan Super AMOLED 6.4-inci beresolusi 1080 x 2400 dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5. Ia juga hadir dengan pengimbas cap jari terbina bawah paparan, sokongan Bluetooth 5.1, dwi-SIM nano, dan bicu audio 3.5mm. Telefon ini menggunakan antaramuka realme UI 3.0 berasaskan Android 12.

Melalui penggunaan cipset Snapdragon 680, telefon ini menawarkan RAM sehingga 8GB dan storan 128GB. Menguasakan telefon ini, terdapat bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 33W melalui port USB-C.

Selain itu, realme 9 menampilkan tetapan tri-kamera pada belakangnya yang mengandungi kamera utama 108MP dengan sensor Samsung ISOCELL HM6. Kamera ini diapit oleh dua buah kamera lagi iaitu kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Pada hadapannya pula, disediakan sebuah kamera 16MP. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk realme 9 iaitu Sunburst Gold, Stargaze White, dan Meteor Black.

Seterusnya, untuk realme Pad Mini, tablet ini hadir dengan paparan LCD IPS 8.7-inci beresolusi 1340 x 800, fungsi imbasan wajah, sokongan Bluetooth, pembesar suara stereo, dan bicu audio 3.5mm. Tablet dengan sistem operasi Android 11 ini menawarkan pilihan ketersambungan LTE + WiFi atau WiFi  sahaja.

Dilengkapkan dengan cipset Unisoc Tiger T616, realme Pad Mini digandingkan dengan RAM sehingga 4GB dan storan sehingga 64GB. Ia dikuasakan oleh bateri 6,400mAH dengan sokongan pengecasan 18W melalui USB-C. Pada belakang tablet ini disediakan sebuah kamera 8MP, manakala sebelah hadapan pula disediakan sebuah kamera 5MP.

realme 9 akan dijual di Malaysia terlebih dahulu pada 22 April ini dengan diskaun pada hari tersebut ditawarkan pada RM829 untuk pilihan konfigurasi 6GB + 128GB melalui kedai rasmi Shopee. Harga biasa baginya dengan konfigurasi tersebut adalah pada RM899. Manakala bagi konfigurasi 8GB + 128GB harganya adalah RM999.

Manakala realme Pad Mini pula ia akan dijual bermula 25 April ini dan turut menawarkan harga diskaun pada tarikh tersebut. Bagi varian LTE + WiFI dan WiFi sahaja dengan konfigurasi 3GB + 32GB, harga yang ditawarkannya adalah RM599 dan RM699 di kedai Shopee rasmi realme pada hari tersebut. Harga tablet dengan konfigurasi tersebut pada hari biasa adalah masing-masing RM699 dan RM749. Untuk konfigurasi 4GB + 64GB yang menawarkan versi LTE + WiFi dijual pada harga RM799.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.