Realme 9, dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan ini di Malaysia selepas kehadiran model-model lain tidak berapa lama sebelum ini. Beberapa bulan lepas, Realme 9i, Realme 9 Pro, Realme 9 Pro+ dan Realme 9 SE telah pun pun hadir ke pasaran tempatan.
Tidak seperti model-model lain di dalam siri ini, Realme 9 model standard ini menampilkan kamera utama 108MP dengan sensor Samsung ISOCELL HM6. Kamera utama ini turut diiringi oleh satu kamera ultralebar 8MP, dan sensor makro 2MP.
Realme 9 menampilkan paparan Super AMOLED 6.4-inci beresolusi 1080 x 2400 dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Paparan ini juga dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 5. Pada sebelah hadapannya juga menempatkan satu kamera 16MP yang ditempatkan pada penjuru kiri sebelah atas.
Kuasa pemprosesan telefon pintar ini menggunakan Snapdragon 680. Ia turut disokong oleh RAM sehingga 8GB dan storan dalaman UFS 2.1 128GB.
Selain itu, telefon pintar ini juga menyediakan pengimbas cap jari terbina dalam, sokongan Bluetooth 5.1, dwi-nano SIM, bicu audio 3.5 dan antaramuka realme UI 3.0 berasaskan Android 12. Telefon ini juga menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W melalui USB-C.
Realme 9 akan dilancarkan di Malaysia pada minggu depan, 20 April 2022. Tiada maklumat mengenai harga dan tarikh jualannya setakat ini.
Berdasarkan harga jualannya di India, telefon ini berharga Rs. 17,999 (~RM 1,000) dengan menawarkan tiga pilihan warna iaitu Sunburst Gold, Stargaze White, dan Meteor Black.