Jika anda merasakan bahawa teknologi mengecas Quick Charge 2.0 yang mampu mengecas dari 0 peratus ke 60 peratus dalam tempoh setengah jam itu sudah cukup canggih, Qualcomm dikatakan mampu memberikan lebih dari itu. Memperkenalkan Quick Charge 3.0 yang juga dari Qualcomm. Teknologi ini mampu mengecas 38 peratus lebih pantas dari teknologi sebelumnya.
Quick Charge 3.0 yang terbaru ini dibuat khas untuk peranti yang dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon generasi berikutnya. Melalui kepantasan mengecas yang 38 peratus lebih pantas dari Quick Charge 2.0, ia dikatakan mampu mengecas dari 0% hingga 80% dalam tempoh 35 minit.
Sebagai perbandingan, teknologi mengecas ini dua kali ganda lebih pantas dari Quick Charge 1.0 yang mana ianya sudah pun 40 peratus lebih pantas dari cara mengecas konvensional.
Quick Charge 3.0 berfungsi dengan mengesan jumlah kuasa elektrik yang diperlukan secara terperinci untuk dihalakan pada poin mengecas yang paling berkesan. Teknologi ini juga bebas digunakan pada apa jua jenis sambungan dan ini bermakna ia boleh digunakan pada pelbagai jenis-jenis peranti. Malah, ia juga menyokong sambungan jenis USB Type-C yang terbaru.
Walaubagaimanapun, teknologi pengecasan ini tidak akan hadir ke mana-mana model telefon pintar terbaru dalam masa yang terdekat ini. Quick Charge 3.0 dijangka hadir bersama peranti-peranti yang menggunakan pemprosesan terbaru Qualcomm Snapdragon seperti pemproses Snapdragon 820, 620, 618 and 430. Tidak salah andainya teknologi ini hadir ke peranti-peranti pintar selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.
Sumber berita diperoleh dari Android Authority