POCO secara rasmi melancarkan telefon pintar bajet baharunya, POCO C81 Pro, untuk pasaran Malaysia, dengan jualan dibuka serta-merta menerusi saluran rasminya.

Model ini hadir dengan RAM 4GB serta tiga pilihan storan, iaitu 64GB, 128GB dan 256GB. Bagi pasaran tempatan, POCO menetapkan harga RM399 untuk varian 64GB, RM449 bagi 128GB dan RM529 untuk model 256GB.

Dari segi pilihan warna, POCO C81 Pro ditawarkan dalam tiga kemasan iaitu Green, Black dan Gold. Peranti ini boleh dibeli terus menerusi kedai dalam talian rasmi Xiaomi serta stor rasmi jenama itu di platform Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Untuk spesifikasi utama, POCO C81 Pro dilengkapkan skrin IPS LCD 6.9 inci dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Telefon pintar ini turut menggunakan cip Unisoc T7250, dipadankan dengan bateri 6,000mAh dan sokongan pengecasan 15W.

Dalam aspek kamera, telefon pintar ini menampilkan kamera belakang 13MP dan kamera swafoto 8MP. Ciri lain yang disertakan termasuk pengimbas cap jari sisi, bicu audio 3.5mm, sokongan storan tambahan melalui slot microSD, serta ketiadaan sambungan 5G.

Dari sudut perisian pula, POCO C81 Pro hadir dengan Xiaomi HyperOS 3 berasaskan Android 15.

Tinggalkan komentar