Utama Teknologi Laman Web PRU.my Tarik 12,000 Pengguna Buat Ramalan Pilihanraya ke-15

Laman Web PRU.my Tarik 12,000 Pengguna Buat Ramalan Pilihanraya ke-15

558
0
PRU My Pilihanraya Umum SilentMode Sdn Bhd

Kuala Lumpur, 29 November 2022 – PRU.my, sebuah platform pengundian dalam talian baharu melaporkan bahawa 12,963 orang telah berdaftar untuk membuat ramalan tentang pilihanraya umum ke-15 (PRU15) Malaysia. Sejumlah 935,714 ramalan yang meliputi semua kerusi yang ditandingkan di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri telah direkodkan.

Dalam tempoh 12 jam platform dilancarkan, 700 pendaftaran telah direkodkan dan dalam tempoh kurang seminggu angka tersebut melepasi 12,000. PRU.my ialah suatu projek milik Silentmode Sdn. Bhd. iaitu syarikat teknologi dari Bangi.

Reza Razali, pengasas Silentmode dan PRU.my berkata, “Idea kami adalah untuk menyediakan cara yang mudah untuk orang ramai membuat ramalan mereka tentang PRU15. Kami tahu bahawa platform pengundian dalam talian seperti yang kami cuba lakukan dengan PRU.my  bukan biasa dalam kalangan rakyat Malaysia ketika pilihanraya. Namun, kami tetap teruskan juga idea tersebut dan kami bersyukur dengan sambutan yang diterima.”

Sebahagian misi PRU.my juga adalah untuk menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam proses demokrasi, terutamanya muda-mudi Malaysia yang layak mengundi pertama kali.

Dua peserta PRU.my, Amar Muhd dan Faisal Abdullah Bada, berjaya mendapat markah tertinggi 78 dengan 171 undi tepat yang paling hampir dengan keputusan sebenar PRU15.

Menurut Amar Muhd, 21, beliau mengikuti media sosial. Katanya, “Saya meluangkan masa mendengar perbincangan pengundi muda seperti saya di media sosial dan juga melihat kejadian semasa PRU14 untuk memberikan saya perspektif.”

Sementara itu, Faisal Abdullah Bada, 36, menerangkan, “Saya mengekstrapolasi data keputusan PRU14 dan perbincangan saya dengan rakan-rakan, pendapat umum, serta pola parti politik di kerusi-kerusi penting.” Faizal memuji inisiatif Silentmode menganjurkan pengundian dalam talian tersebut.

“Kami tidak harapkan markah sempurna. Pencapaian kedua-dua mereka ini mengagumkan. Tahniah Amar dan Faisal!” ulas Reza.

Amar dan Faisal masing-masing menerima sebuah iPad generasi ke-10 daripada PRU.my atas pencapaian mereka.

PRU.my dibina sebagai projek oleh sekumpulan pelatih dan kakitangan baharu. Reza menyatakan, “Kami gembira ribuan orang ramai telah mengambil bahagian dengan memberikan ramalan mereka. Saya bangga dengan pasukan di sebalik PRU.my yang hasil kerja mereka telah memberi kesan positif terhadap masyarakat.”

“Pengundian PRU15 di PRU.my ialah permulaan yang baik. Kami berminat untuk terus bangunkan platfrom tersebut bagi misi lebih besar seperti menjalankan pengundian bertema semasa pilihanraya,” Reza menyimpulkan.

Silentmode Sdn. Bhd. ialah syarikat teknologi yang menyediakan penyelesaian berinovasi melalui model Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) untuk pengurusan runcit minyak dan F&B.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.