FIFA telah mengeluarkan kenyataan terkini mengenai mengapa Cristiano Ronaldo tidak dinamakan sebagai penjaring gol pembukaan perlawanan Portugal vs Uruguay di Piala Dunia FIFA 2022 Qatar awal pagi tadi.
Ketika itu, ayam tambatan pasukan Portugal yang berusia 37 tahun berkenaan pada awalnya menyangkakan beliau menjadi pemain pertama yang memecah kebuntuan. Bola hasil hantaran lintang Bruno Fernandes tersebut bagaimanapun terus masuk ke gawang Uruguay tanpa menyentuh kepala Ronaldo walaupun beliau sendiri mendakwa terkena sedikit.
Dakwaan tersebut dinafikan FIFA kerana bola rasmi kejohanan Adidas Al Rihla dilengkapkan dengan teknologi pintar Connected Ball tidak mengesan sebarang sentuhan yang dilakukan oleh Ronaldo sebelum gol tersebut dijaringkan. Di dalam bola tersebut terdapat sensor IMU 500MHz yang mampu mengesan sentuhan yang dilakukan oleh pemain bagi menghasilkan analisis yang sangat tepat.
Bola rasmi Piala Dunia FIFA 2022 Qatar ini membolehkan data dalam masa nyata dihantar ke pegawai-pegawai perlawanan. Ia seterusnya dapat membantu dalam membuat keputusan yang tuntas melibatkan isu seperti offsaid, status jaringan gol dan juga penjaring gol.
Perlawanan tersebut telah dimenangi oleh Portugal melalui 2 gol yang telah dijaringkan tanpa balas terhadap Uruguay yang langsung tidak menjaringkan sebarang gol.