Proton X90 secara rasminya telah dilancarkan pada hari ini yang juga tarikh ulang tahun ke-40 jenama automotif kebangsaan ini. Kenderaan utiliti sukan (SUV) paling terkini ini juga merupakan model hibrid pertama keluaran Proton.
Antara yang paling menarik perhatian, rangkaian kuasa (powertrain) pada model ini dikuasakan secara hibrid melalui penggunaan sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V. Ia digandingkan dengan enjin turbo tiga silinder TGDi 1.5L dan transmisi dwi-klac 7 kelajuan.
Rangkaian kuasa yang dimuatkan ke dalam Proton X90 ini mampu menghasilkan output kuasa digabungkan sehingga 190PS dengan tork 300Nm.
Di dalamnya, Proton X90 menawarkan panel papan pemuka berbentuk skrin LCD 10-inci. Turut disediakan skrin 12.3 untuk sistem inforia yang dikuasakan oleh pemprosesan ECARX E02.
SUV baharu keluaran Proton ini juga membawa pelbagai ciri baharu yang belum pernah diperkenalkan pada model-model keluaran Proton yang terdahulu.
Antaranya keupayaan mengesan dan memaparkan papan tanda jalanan melalui ciri yang dikenali sebagai Traffic Sign Information.
Juga disediakan Rear Collision Warning yang akan mengeluarkan amaran kepada pemandu tentang kemungkinan bahaya pelanggaran dari belakang. Rear Cross Traffic pula akan memaklumkan kepada pemandu jika terdapat kenderaan yang menghampiri ketika Proton X90 dipandu secara mengundur.
Boleh didapati dengan konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk, Proton X90 ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship.
Untuk warnanya pula, SUV baharu ini mempunyai enam warna yang boleh dipilih, merangkumi Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown, Ruby Red, dan Marine Blue. Beberapa warna hanya terhad untuk varian-varian tertentu dengan harga jualannya bermula dari RM123,800 tidak termasuk insurans.
Maklumat lanjut mengenai Proton X90, layari laman web rasmi Proton.