Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah melancarkan program pembaharuan teksi nasional yang dikenali sebagai Teksi Madani di Dataran Merdeka.

Bertepatan dengan langkah pemodenan tersebut, model Proton S70 telah diperkenalkan secara rasmi sebagai wajah baharu bagi perkhidmatan teksi di Malaysia.

Berbeza dengan imej teksi tradisional, teksi Proton S70 varian Premium ini tidak lagi dilengkapkan dengan papan tanda teksi di atas bumbung.

Kenderaan ini menggunakan paparan diod pancaran cahaya (LED) pada bahagian kiri cermin hadapan dan cermin belakang. Paparan elektronik ini boleh memaparkan perkataan ‘Teksi’ atau ‘E-hailing’. Ia selari dengan fungsi dwinya dalam ekosistem pengangkutan masa kini.

Imej dari FB Shamsul Azri bin Abu Bakar

Dari segi luaran, teksi baharu ini tampil dengan warna Ruby Red daripada model kemas kini S70 MC1 dan dihiasi dengan corak flora putih pada tiang-C (C-pillar).

Kenderaan ini tidak lagi menggunakan nombor pendaftaran plat ‘H’ bertulisan hitam putih, tetapi beralih kepada penggunaan plat digital JPJePlate bernombor siri ‘GET’ dengan tulisan merah berlatarkan putih.

Siri awalan ‘GET’ tersebut membawa maksud ‘Gabungan E-hailing dan Teksi’ dan ia dikhususkan secara eksklusif untuk siri teksi ini sahaja.

Menjengah ke ruang kabin, teksi S70 dilengkapkan dengan skrin di bawah papan pemuka yang berfungsi sebagai meter teksi digital.

Menariknya, skrin ini turut bertindak sebagai paparan iklan yang mampu menjana sumber pendapatan tambahan untuk para pemandu. Manakala sebuah pencetak resit kecil ditempatkan di bawah konsol tengah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam ucapannya menyatakan program ini bermatlamat untuk melahirkan perkhidmatan teksi yang lebih moden, berdaya saing, dan memainkan peranan penting dalam ekosistem pengangkutan awam negara.

Bagi menggalakkan peralihan komuniti teksi kepada model baharu ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan sokongan:

  • Geran Padanan: Dana bernilai RM10 juta diumumkan, menawarkan sokongan tukar beli sehingga RM4,000 (maksimum RM2,000 daripada Proton dan RM2,000 daripada kerajaan).
  • Pengecualian Cukai: Kereta ini ditawarkan tanpa cukai eksais dan cukai jualan, menjadikan harga atas jalannya sekitar RM64,500 (tanpa insurans) berbanding harga runcit RM74,800.
  • Kemudahan Kewangan & Pemilikan: Penyelesaian pembiayaan mudah disediakan untuk memastikan hak milik kekal di tangan pemandu.
  • Keistimewaan Tambahan: Teksi ini boleh digunakan untuk tujuan peribadi dan pemandu akan diberikan keutamaan ketika membuat pemeriksaan kenderaan.

Perdana Menteri turut mengumumkanera pajakan permit teksi yang sering membebankan pemandu kini telah berakhir. Melalui dasar baharu ini, permit akan diberikan secara terus kepada pengendali teksi dan pemandu berhak mengekalkan pemilikan penuh ke atas kenderaan mereka.

Tinggalkan komentar