TM sejak kebelakangan ini kerap kali diperkatakan terutamanya berkaitan dengan promosi peningkatan kelajuan pelan dan juga pengurangan harga untuk pelanggan-pelanggan baru. Untuk kali ini, sebahagian pelanggan-pelanggan UniFi menyatakan menerima tawaran promosi meningkatkan kelajuan pelan sedia ada dari pihak TM.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh pelanggan TM melalui portal teknologi SoyaCincau, pelanggan menerima tawaran bagi meningkatkan kelajuan pelan sedia ada yang sedang dilanggan. Bagaimanapun, pelanggan yang bersetuju untuk menaik taraf perlu membayar tambahan RM10 pada setiap bulan untuk menikmati kelajuan baru yang ditawarkan, berserta kontrak yang akan diperbaharui ke tempoh 24 bulan.
Selain itu, pelanggan yang bersetuju untuk menaik taraf juga menerima Pek HyppTV Jumbo dan kadar bayaran bulanan yang dikenakan juga berbeza-beza mengikut pelan-pelan yang dilanggan.
Malah, di dalam laman Forum Lowyat juga terdapat pelanggan yang melaporkan promosi naik taraf kelajuan ini ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan baru. Ahli forum berkenaan mendapat maklumat tersebut setelah berkunjung ke TMpoint Aloq Setaq beberapa hari yang lepas.
Apa yang mendatangkan tanda tanya bagi pengguna-pengguna lain yang tidak mengetahui berkenaan hal ini adalah tiada sebarang kenyataan rasmi dari TM berhubung perkara ini. Mungkin ada baiknya bagi anda yang melanggan perkhidmatan TM ini untuk berhubung melalui talian 100 untuk maklumat lanjut.