PUTRAJAYA, 13 September 2023 – Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Persidangan Digital Sektor Awam (PDiSA) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Persidangan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara pada hari ini. PDiSA 2023 merupakan persidangan yang melibatkan penyertaan inklusif pemimpin digital kerajaan serta rakan strategik dari pihak industri termasuk pakar tempatan yang sama-sama berkumpul dan membincangkan pelbagai inisiatif dan potensi penambahbaikan bagi menghasilkan perkhidmatan Kerajaan yang lebih berkualiti dalam menghadapi masa depan digital dan mengutamakan keperluan rakyat.
PDiSA 2023 yang bertemakan “Pendigitalan Perkhidmatan Awam: Nadi Kesejahteraan Negara” menjadi platform bagi percambahan idea dan maklum balas untuk memantapkan peranan pemimpin digital kerajaan secara cekap ke arah perkhidmatan kerajaan yang berpaksikan rakyat.
Ia juga memberi peluang untuk berkongsi amalan terbaik peringkat global dan nasional yang boleh diadaptasi dalam pembangunan hala tuju, dasar dan pengurusan pemimpin digital serta memacu gagasan digitalisasi sektor awam.
Pemilihan tema ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam konteks digitalisasi perkhidmatan rakyat secara end-to-end bagi memastikan rakyat mendapat manfaat secara adil dan saksama tanpa sempadan. Setiap rakyat boleh mengakses perkhidmatan kerajaan secara inklusif dan bersepadu dalam usaha membina keharmonian dan kesejahteraan negara.
Dari segi pengisian program, tiga sesi pembentangan dan dua sesi perbincangan panel telah diadakan dengan topik berkaitan pendigitalan dengan memberi fokus kepada domain Manusia, Proses, Teknologi dan Data.
Persidangan ini turut menjadi platform bagi pelancaran Portal Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) (url: data.gov.my) iaitu produk yang dibangunkan oleh MAMPU bagi menyokong hasrat kerajaan dalam melaksanakan inisiatif data terbuka untuk perkongsian orang awam.
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri KSN juga telah menyampaikan Sijil Pengiktirafan dan Sijil Penghargaan kepada Kementerian dan Jabatan yang terpilih di atas usaha agensi tersebut dalam menggalak dan menyemarakkan pendigitalan di agensi masing-masing.
Selain itu, peserta persidangan berpeluang mengunjungi reruai pameran yang mempamerkan inisiatif pendigitalan kerajaan dan industri. Walaupun PDiSA 2023 dijalankan secara jemputan rasmi, namun orang ramai berpeluang menonton persidangan ini yang disiarkan secara langsungdi Facebook Live MAMPU. Adalah diharapkan wadah sebegini akan menjadi tanda aras kepada Kerajaan untuk berkolaborasi dan mendekati rakyat.
Persidangan ini perlu diteruskan lagi pada tahun akan datang dengan pengisian yang terus ditambahbaik seiring dengan pemerkasaan pendigitalan sektor awam.
Persidangan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), JPM; Ketua-ketua Jabatan/Agensi kerajaan; pegawai-pegawai kanan kerajaan serta penjawat awam.