Utama Teknologi KSN: Penjawat Awam di Malaysia perlu siap sedia merealisasikan GovTech

KSN: Penjawat Awam di Malaysia perlu siap sedia merealisasikan GovTech

221
0
Tan Sri Dato Seri Mohd Zuki Ali GovTech MAMPU

PUTRAJAYA, 13 September 2023 – Penjawat awam perlu bersedia menerima cabaran pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan menjadi peneraju global.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ia juga sejajar dalam merealisasikan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan konsep ‘Government Technology’ (GovTech) Malaysia bagi memperhebatkan revolusi digital dan keupayaan kerajaan.

Menurut beliau, GovTech adalah pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dalam pemodenan sektor awam. Ia menekankan kepada tiga aspek iaitu

  • berpaksikan rakyat
  • akses universal kepada perkhidmatan kerajaan
  • pendekatan keseluruhan transformasi kerajaan digital.

“Anjakan ini memerlukan komitmen kita semua warga perkhidmatan awam untuk mempercepatkan dan memperkasakan pendigitalan melalui konsep GovTech.

“Ini kerana penjawat awam bukan sekadar menyediakan perkhidmatan sebaliknya menawarkan khidmat yang terbaik dan bersifat penyelesaian masalah kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Digital Sektor Awam (PDiSA) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mohd Zuki berkata, usaha yang dilaksanakan itu sudah pasti memberi kesan positif kepada Indeks Kematangan GovTech (GTMI) yang diperkenalkan pada 2020 membabitkan 198 negara.

“Berdasarkan Laporan GTMI, 2022, ‘Update: Trends in Public Sector Digital Transformation’, Malaysia dikategorikan dalam kumpulan A atau ‘GovTech Leaders’ yang berada dalam kumpulan indeks sangat tinggi.

“Indeks ini sudah pasti akan menjadi penanda aras oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kompetensi negara dari perspektif pendigitalan,” katanya.

Budaya Inovasi di kalangan Penjawat Awam

Justeru, beliau menggesa penjawat awam supaya menyemarakkan budaya inovasi dan meningkatkan kreativiti dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Di sinilah terletaknya kepentingan dan peranan teknologi digital sebagai pemangkin yang mendokong setiap pembaharuan yang dirangka dan pelaksanaan yang merentasi segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) yang bertujuan membudayakan inovasi dalam sektor awam.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri sudah menyatakan persetujuan untuk menyempurnakan Majlis Penganugerahan AIPSA pada 7 November ini.

“Bersama-sama kita nantikan agensi mana yang bakal membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta serta trofi pada hari berkenaan kelak,” katanya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.