Pelajar-pelajar yang menerima tablet menerusi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia tidak perlu untuk memulangkan tablet berkenaan selepas menamatkan pengajian. Keputusan baharu tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob ketika pelancaran program tersebut pagi tadi.
Terdahulu, para pelajar yang menerima tablet berkenaan dikehendaki untuk memulangkan semula tablet selepas menamatkan pengajian masing-masing. Sehingga artikel ini ditulis, halaman soalan-soalan lazim di laman web rasmi PerantiSiswa masih lagi belum dikemaskini dengan pengumuman terkini dari Perdana Menteri.
Menerusi pengumuman terbaru ini, para pelajar yang menerima tablet dari program berkenaan tidak perlu memulangkannya semula.
Sejumlah RM450 juta telah diperuntukkan bagi program yang mensasarkan untuk memanfaatkan seramai 350,000 pelajar di seluruh negara. Anda yang layak boleh membuat permohonan menerusi laman web rasmi PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan dijangka menerima tablet Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama-sama aksesorinya sekitar Oktober atau November ini.