Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa pada bulan lepas mengumumkan kerajaan telah membuat perolehan Samsung Galaxy Tab A8 LTE untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak di bawah Program PerantiSiwa Keluarga Malaysia.
Kini, beliau telah mempertontonkan pakej lengkap tablet berkenaan menerusi laman Facebook rasmi beliau menjelang pelancaran rasminya esok.
Pertama kali diumumkan menerusi sesi pembentangan Bajet 2022 pada Oktober tahun lalu, Tan Sri Annuar Musa pernah menyatakan spesifikasi tablet berkenaan perlu sekurang-kurangnya bersaiz paparan 10.1-inci dan RAM 4GB pada Mac lalu. Selain itu, tablet berkenaan juga perlu disertakan bersama-sama satu papan kekunci dan stylus.
Pemilihan Galaxy Tab A8 LTE ini dilihat bertepatan dengan spesifikasi yang telah ditetapkan. Aksesori yang disertakan bersama-sama tablet di dalam pakej ini merangkumi ITFIT Tab A8 Book Cover, ITFIT Stylus Pen and Smart Keyboard Trio 500 dan pengecas 7.75W. Kesemua aksesori berkenaan merupakan akesori pihak pertama (first-party) dari Samsung.
Untuk waranti, Galaxy Tab A8 LTE untuk program PerantiSiswa ini didatangkan dengan waranti 24 bulan. Manakala papan kekunci, stylus, bateri dan pengecas pula mempunyai waranti selama 12 bulan.
Tablet ini disediakan kepada pelajar-pelajar secara pinjaman dan perlu dipulangkan sebaik sahaja menamatkan pengajian. Melalui peruntukan sejumlah RM450 juta, pemberian tablet ini pada asalnya dijadualkan pada Jun lalu, namun telah ditunda ke bulan ini berikutan keputusan Kementerian Kewangan untuk melakukan semula proses tender.
Kerajaan mensasarkan untuk menyediakan tablet ini kepada 350,000 pelajar dalam tahun ini menerusi PerantiSiswa. Pelajar-pelajar yang layak boleh menghantar permohonan mereka sehingga 30 September menerusi laman web rasmi PerantiSiswa Keluarga Malaysia.