Utama Teknologi Kecerdasan Buatan Penjawat Awam dikehendaki mengambil Program Pembelajaran ‘AI Untuk Rakyat’

Penjawat Awam dikehendaki mengambil Program Pembelajaran ‘AI Untuk Rakyat’

382
0

PUTRAJAYA, 21 Januari 2024 – Penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran Al Untuk Rakyat, sebagai langkah memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran “Pelaksanaan program ‘Al Untuk Rakyat’ Dalam Kalangan Penjawat Awam’ bertarikh 17 Jan 2024 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam di peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan; Pihak Berkuasa Berkanun Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Penglibatan penjawat awam dalam Program Al Untuk Rakyat dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam,” demikian menurut surat edaran itu.

Program Al Untuk Rakyat ialah program pembelajaran secara dalam talian selama empat jam dan penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran itu bagi memperoleh lencana ‘Al Aware’ dan ‘Al Appreciate’.

“Laporan penyertaan program Al Untuk Rakyat di peringkat organisasi masing-masing hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui e-mel radin.hambali@ekonomi.gov.my.

“Sesalinan laporan itu juga hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui e-mel johanna.zainal@jpa.gov.my,” menurut surat edaran itu.

Berdasarkan surat yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi JPA hari ini itu, program Al boleh dicapai menerusi portal Al Untuk Rakyat melalui pautan www.ai.gov.my.

Surat edaran itu juga menyatakan sebarang pertanyaan mengenai penggunaan portal Al

Untuk Rakyat boleh dikemukakan terus kepada pihak MyDIGITAL Corporation (MYDC) yang akan memberikan maklum balas sewajarnya terhadap setiap pertanyaan pengguna menerusi alamat e-mel c4ir@mydigital.gov.my seperti yang tertera dalam portal itu atau e-mel contactus@mydigital.gov.my atau menghubungi talian 03-88618282.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program Al Untuk Rakyat dan menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini. – Bernama

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.