Utama Teknologi TSMC dilaporkan telah diarahkan oleh AS untuk hentikan Penghantaran CPU, GPU ke...

TSMC dilaporkan telah diarahkan oleh AS untuk hentikan Penghantaran CPU, GPU ke China

58
0

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah mengarahkan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) supaya menghentikan pembekalan cip-cip termaju ke China bermula dari hari ini, 11 November 2024. Menurut Reuters, Jabatan Perdagangan AS telah mengeluarkan surat mengenakan sekatan eksport terhadap cip-cip rekaan termaju 7-nanometer dan ke atas. Cip tersebut digunakan secara meluas di dalam pemecut kecerdasan buatan (AI) dan unit pemprosesan grafik (GPU).

Keputusan tersebut rentetan daripada pendedahan yang mendakwa Huawei menggunakan cip TSMC. Bulan lepas, pengeluar cip berkenaan memaklumkan Jabatan Perdagangan bahawa salah satu cipnya telah dikenalpasti di dalam sebuah pemprosesan AI yang dihasilkan oleh gergasi teknologi China tersebut.

Huawei kini diletakkan di bawah sekatan perdagangan oleh AS, dan pemberhentian penghantaran tersebut disasarkan untuk membantu kerajaan AS menyiasat sama ada terdapat syarikat-syarikat lain yang melencongkan cip-cip tersebut ke Huawei.

Atas arahan dari Jabatan Perdagangan tersebut, TSMC telah memaklumkan pelanggan-pelanggannya yang terkesan tentang penghantaran melibatkan cip-cip yang dikenakan sekatan akan dihentikan bermula dari hari ini. Sebelum ini, Bloomberg melaporkan pengeluar cip berkenaan juga telah menghentikan penghantaran kepada pelanggannya yang disyaki menghantar cip kepada Huawei secara haram pada pertengahan Oktober 2024.

Dalam kenyataannya kepada Reuters, Kementerian Ekonomi Taiwan telah mengesahkan perbincangan lanjut antara TSMC dengan kerajaan AS telah diadakan bagi memperincikan isu kawalan eksport bagi memastikan pihak syarikat mematuhi peraturan perdagangan domestik dan antarabangsa.

TSMC juga memberitahu media berkenaan bahawa pihaknya komited dalam mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan termasuk kawalan eksport yang berkaitan.

Dalam perkembangan yang berkaitan, akhbar Perancis Le Mode mendakwa Huawei sedang berusaha mendapatkan pekerja-pekerja mahir dari TSMC bagi meningkatkan pembangunan semikonduktornya sendiri. Menurut laporan, gergasi teknologi China berkenaan menawarkan pakej-pakej lumayan termasuk gaji sehingga tiga kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh majikan masing-masing sekarang.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.